KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan berhubung isu rombakan terhadap kepimpinan tertinggi yang dikatakan akan ditukar keluar daripada pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya telah mengesan satu laporan berita daripada sebuah portal dalam talian mengenai dakwaan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM.
Razarudin berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa PDRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan tersebut.
“PDRM telah menghubungi pihak portal yang berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut sumber media tempatan, antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Portal berita itu juga memetik kedua-dua pegawai kanan itu telah dikaitkan dengan pertukaran ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ketua Pengarah.
Justeru, Razarudin berkata, pihaknya menasihatkan kepada semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan. – HARAKAHDAILY 6/8/2024