Mesir enggan pintas dron, peluru berpandu dilancar ke arah Israel

Abdel Fattah El-Sisi (FOTO: The Daily Beast)
- Advertisement -

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi menyatakan bahawa negaranya tidak akan memintas sebarang dron ataupun peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang Houthi di Yaman ke arah Israel.

Keputusan itu diambil untuk menjauhkan diri daripada mana-mana kumpulan yang dibentuk bagi mempertahankan Israel sewaktu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang mendapatkan bantuan sekutu khususnya Amerika Syarikat bagi mempertahankan negaranya, lapor The National.

Mesir sebelum ini telah menolak permintaan Israel untuk menyertai sekumpulan negara bagi mempertahankan negara haram itu daripada kemungkinan serangan balas oleh Iran atau proksi serantaunya.

- Advertisement -

Perkara itu diputuskan ketika rundingan yang diadakan di sini pada Sabtu antara pegawai perisikan dan keselamatan tertinggi Mesir bersama delegasi Israel yang melakukan lawatan.

Mesir sebelum ini dilaporkan marah dengan penangkapan Israel pada Mei lalu terhadapa rakyat Palestin yang melintasi tanahnya dengan Gaza bersama-sama dengan jalur yang membentang sepanjang sempadannya.

Ia juga mengkritik tindakan kejam Israel dalam perang Gaza, di mana menurut angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan di wilayah itu, telah membunuh lebih 39,600 rakyat Palestin.

Serangan balas yang dijangkakan secara meluas ke atas Zionis Israel itu adalah sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran dan komander tertinggi tentera Hizbullah, Fouad Shukr minggu lalu di Beirut.

Kumpulan Houthi yang disokong Iran sebelum ini telah beberapa kali melakukan serangan ke atas Zionis Israel dengan dron dan peluru berpandu balistik sejak perang meletus pada Oktober tahun lalu, di samping menyerang kapal di Laut Merah, tindakan yang telah mengurangkan lalu lintas di Terusan Suez yang menghubungkan Laut Merah dengan Laut Mediterranean. -Agensi/– HARAKAHDAILY 6/8/2024