Kadar penengah dan purata gaji di Perlis meningkat

- Advertisement -

KANGAR: Berdasarkan Survei Gaji dan Upah (SGU) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penengah dan purata gaji bulanan di Perlis menunjukkan peningkatan pada tahun 2022.

- Advertisement -

Statistik menunjukkan bahawa kadar penengah di negeri ini pada 2022 meningkat kepada RM1,872 berbanding RM1,797 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia negeri, Asrul Aimran Abd Jalil memaklumkan bahawa purata gaji juga meningkat dari RM2,588 pada 2021 kepada RM2,777 pada 2022.

“Berdasarkan statistik SGU pada 2022, bilangan penerima gaji dan upah di negeri Perlis adalah seramai 72,800 orang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Asrul berkata demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan lisan dari Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) berhubung statistik gaji atau pendapatan penduduk di Perlis.

Dalam perkembangan berkaitan, Asrul menyatakan bahawa kadar pengangguran di negeri ini pada suku pertama tahun 2024 adalah pada tahap dua peratus, iaitu seramai 2,400 orang.

“Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan di negeri ini bagi tempoh dari Januari sehingga 5 Julai lalu adalah seramai 124 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 24 orang berjaya ditempatkan semula dalam sektor pekerjaan,” katanya.

Asrul juga menekankan bahawa keberkesanan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh PERKESO dan kerajaan negeri dapat dilihat menerusi statistik DOSM yang merekodkan kadar pengangguran pada 2022 adalah 3.9 peratus atau 4,400 orang.

Untuk rekod, pada suku keempat 2023 pula, kadar pengangguran menurun kepada 2 peratus atau 2,400 orang.

“PERKESO dan kerajaan negeri sentiasa berusaha merangsang pasaran buruh di Perlis bagi mengurangkan kadar pengangguran melalui beberapa inisiatif seperti menyediakan platform pencarian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.

“Selain itu, Sistem Carrier Bridge Tool turut dibangunkan bagi menghubungkan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan pekerjaan yang sepadan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -