Ejek kemenangan Aaron Chia, Wooi Yik: Netizen kecam netizen

Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan memalukan beberapa pengguna sosial media yang merendah-rendahkan atau mengejek kemenangan pingat gangsa pemain beregu badminton Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sewaktu Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris baru-baru ini telah mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik di laman Facebook mendapati satu akaun dengan nama pengguna Az Wan menulis, “gangsa je pun.” 

- Advertisement -

Seorang lagi pengguna dengan nama Mjan Jan Mjan Jan menulis, “pingat gangsa berlambak dah Malaysia dapat. Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) pun tiga kali dapat pingat perak. Maknanya Malaysia ini tak ada kemajuan lagi lah dalam bidang sukan.”

Kritikan yang dilemparkan itu bagaimanapun dibalas oleh netizen yang telah ‘membantai’ komen-komen berkenaan demi mempertahankan pemain beregu badminton yang telah menghadiahkan pingat pertama buat negara.

Antara komen balas yang diperoleh ialah “Aduh…Ini lagi sekor. Tak ada semangat jati diri untuk support buat wira badminton negara. Gangsa pun dah cukup. Mereka berdua dah buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia kita semua okey. Penat hang ni,” tulis Mat Bistaman Nor.

AsyieQin Latif pula menulis, “gangsa dia boleh dapat pingat Dato & duit hang tau tak? Sukan peringkat Olimpik kot bukan peringkat sekolah.”

Seorang lagi pengguna, Aima Sharima menulis, “Makcik dah umur 55 tahun. Sangat berbangga tengok atlet-atlet Malaysia. Kalah ke, menang ke, mereka telah membuat yang terbaik. Syabas kepada semua atlet. Setidak-tidaknya nama Malaysia disebut oleh para pengulas.”

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Ahad lalu menyaksikan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menumpaskan beregu dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menerusi tiga set, 16-21, 22-20 dan 21-19 bagi menghadiahkan pingat pertama Malaysia di temasya berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -