KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard mendakwa dirinya difitnah tentang isu dakwaan rasuah membabitkan pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau mendakwa, tangkapan terhadapnya pada 29 Julai lalu juga bersangkutan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan dengan sebaran fitnah adalah salah dan bukan fitnah.
“Saya disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Namun apabila diteliti semula, dokumen yang dimaksudkan tidak termaktub sebagai dokumen sulit bawah OSA,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Chegu Bard menjelaskan dia telah membuat laporan polis bagi meminta polis membuat penyiasatan tentang satu set dokumen rasmi kerajaan berkaitan satu kes jenayah korupsi yang berlaku melibatkan RM45 juta dalam pembelian kapal sebelum dia ditangkap dan direman.
Beliau juga mendedahkan bahawa isi di dalam dokumen itu ada pandangan pihak terbabit yang membuktikan laporan kes pembelian kapal itu, tatakelakuannya tidak jujur dan amanah terhadap tugas yang dilakukan.
“Dokumen ini telah disahkan benar dan betul dan diharapkan pegawai tertinggi itu tidak dinaikkan sebagai panglima pada 1 Ogos 2024.
“Mana mungkin pegawai tertinggi yang ada rasuah dinaikkan pangkat,” katanya.
Tambahnya lagi, semasa ditangkap dan direman, beliau telah menyerahkan laporan polis yang dibuat dan salinan dokumen kes turut dirampas.
Walau bagaimanapun, beliau telah membuat laporan polis dan membuka kertas siasatan atas penangkapan yang salah dan intimidasi sengaja kerana pendedahan rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi TLDM itu.
“Saya ada keyakinan bahawa pasukan siasatan ke atas diri saya, mungkin tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka hanya mengikut arahan atasan.
“Saya desak keadilan dan pihak yang menyalah guna kuasa bertanggungjawab kepada saya dan keluarga saya,” katanya.
Beliau juga meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulangkan dokumen yang dirampas dan meminta maaf di atas semua kesulitan atas intimidasi beliau, keluarga dan kenalan. – HARAKAHDAILY 6/8/2024