KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menafikan dakwaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, bahawa kerajaan negeri tidak menjaga hak orang bukan Islam.
Beliau berkata, rakyat di negeri ini hidup secara aman, harmoni walaupun muslim seramai 96 peratus.
“Masyarakat bukan Islam tidak ada masalah dari dulu berpuluh dan beratus tahun kami hidup dengan harmoni.
“Masing-masing menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas berhubung keputusan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu melarang penyanyi wanita membuat persembahan pada acara keagamaan yang dianjurkan sebuah tokong, kata beliau, negeri ini mempunyai garis panduan hiburan yang perlu diikuti oleh seluruh rakyat.
Katanya, bagi orang bukan islam mereka tidak dihalang untuk mengadakan majlis sesama mereka yang tertutup dan tidak mengganggu orang lain, itu hak mereka.
“Sekiranya mengganggu masyarakat umum contohnya diadakan di tempat yang umum walaupun majlis itu majlis mereka.
“Jadi dia tetap mengganggu masyarakat umum itu kita tidak boleh kompromi kerana itu garis panduan yang telah diletakkan.
“Kalau mereka nak buat, buat sesama mereka majlis majlis tertutup, dewan tertutup tidak ada masalah itu hak mereka,” katanya.
Khalil juga mengingatkan DAP agar tidak hanya menjaga hak minoriti, tetapi turut memberi perhatian yang sama kepada hak majoriti.
“DAP ini mereka selalu menimbulkan bahawa kita tidak menjaga hak-hak orang bukan Islam.
“Mereka juga perlu menjaga hak-hak orang Islam, kerana Islam adalah agama rasmi dan umat Islam adalah majoriti dalam negara kita.
“Jadi apabila bercakap tentang hak-hak ini bukan sahaja hak minoriti tetapi hak majoriti jangan pula apabila kita bercakap tentang hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024