KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan lapan negeri sehingga 6 petang ini.
MetMalaysia berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Seterusnya, kawasan di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim); Terengganu (Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Raub).
“Selain itu, kawasan di Selangor (Hulu Selangor); Sarawak di Kuching dan Mukah (Matu, Dalat dan Mukah); dan Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024