Video lawatan ke kuil: Islam tak sama dengan agama lain

Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri perlu mengambil langkah yang proaktif untuk membendung fahaman pluralisme agama dengan segera.”

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin berkata, perkara itu perlu dibendung daripada terus meresapi ke dalam pemikiran umat Islam sebelum ia menjadi barah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Kata beliau, fahaman pluralisme itu hakikatnya telah lama bertapak di Malaysia dan ramai dari kalangan atau golongan yang berfahaman liberal menyokong pluralisme agama kononnya atas dasar keharmonian dan toleransi beragama.

“Baru-baru ini telah tular sebuah video di media sosial berkenaan dengan kenyataan dari seorang wanita yang menyertai rombongan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay yang mengatakan bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu.

“Kenyataan tersebut mendorong kepada kekeliruan dalam kalangan rakyat khususnya yang beragama Islam dan merupakan suatu bentuk pluralisme agama. 

“Secara asasnya pluralisme agama ialah tiada suatu agama dalam dunia ini boleh dijadikan sebagai sumber kebenaran atau kebenaran pada tahap tertentu dalam agama lain, yang boleh disahkan menurut agama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis Ulama Indonesia juga menurutnya telah menghuraikan pluralisme agama sebagai ‘sebuah fahaman yang berpegang kepada semua agama adalah sama dan penganut agama tersebut tidak boleh mewartakan bahawa agamanya sahaja yang benar sedangkan agama yang lain adalah sesat’.

Jika diteliti dengan lebih mendalam ujarnya, fahaman pluralisme agama ini sebenarnya sebuah fahaman yang akan menyempurnakan kerangka fahaman liberalisme itu sendiri. 

“Liberalisme memberi hak dan kebebasan individu dalam apa-apa perkara termasuklah kebebasan beragama. 

“Namun begitu, pegangan agama individu tersebut berkemungkinan boleh menceroboh hak beragama individu yang lain. 

“Maka, fahaman pluralisme ini sebenarnya merupakan fahaman menyamakan semua agama supaya tidak menceroboh hak dan kebebasan agama lain,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam dan Islam memberi kebebasan beragama kepada penganut agama-agama lain.

“Namun, Islam tidak pernah menganggap bahawa semua agama adalah sama kerana Islam itu sendiri berbeza dari sudut aqidahnya, syariatnya dan berbeza dalam menentukan benar atau batil, adil atau zalim,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, perkara itu telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Al Quran dalam surah Al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud, ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.

Selain itu katanya, Allah S.W.T telah menegaskan bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar di sisi-Nya dan agama-agama lain itu tidak benar.

Perkara itu ujarnya berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 19 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya‘.

Tambah beliau, dalam ayat yang lain juga Allah SWT berfirman (dalam surah ali-Imran ayat 83 hingga 85 yang bermaksud) ‘Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan’. 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. 

“Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam), dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi,” katanya memetik ayat al-Quran.

Dalam pada itu, beliau berkata, Islam juga merupakan ‘Ad-Din’ yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang bersifat syumul (menyeluruh) dalam kerangka individu, sosial dan kemasyarakatan, dasar dan undang-undang, sistem ekonomi dan sistem kenegaraan. 

Perkara itu katanya ditegaskan lagi oleh As Syahid Imam Hasan Al – Banna di dalam kitab ‘Rukun al-Fahmu’ karangan Mantan Syeikhul Azhar, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud yang bermaksud ‘Islam adalah sistem yang komprehensif yang menyentuh seluruh aspek kehidupan’. 

“Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah peradaban dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan keadilaan.

“‘Islam adalah kebendaan dan kekayaan atau usaha dan kecukupan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih tidak kurang tidak lebih’,” petik beliau daripada kitab ‘Rukun al-Fahmu’ tersebut.

Maka bukti-bukti daripada nas-nas Al-Quran dan pandangan ulama katanya, telah membuktikan bahawa Islam itu merupakan suatu agama yang mempunyai aqidah dan penentuan iman tersendiri, undang-undang dan syariat yang tersendiri, kaedah penentuan halal dan haram tersendiri.

“Dan Islam merupakan the way of life yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia sehingga ke hari akhirat. Hal ini sekali gus menolak pandangan dan kenyataan bahawa Islam ini sama dengan agama yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!