
KUALA TERENGGANU: Penghasilan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dapat menjana pendapatan baru kepada Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman.
Katanya, penghasilan NR-REE itu juga dapat memberikan kesan berganda kepada ekonomi seperti pembukaan peluang pekerjaaan baharu dan mengalakkan kedatangan para pelabur ke negeri ini.
Beliau menyatakan perkara itu pada Bengkel Pelan Strategik NR-REE negeri yang diadakan di sini, hari ini.
“Bengkel ini diadakan bertujuan bagi melahirkan pelan strategik tetapi dalamnya lagi adalah untuk melihat keseluruhan bagaimana kita meningkatkan lagi masa peringkat keluaran hasil NR-REE di Negeri Terengganu,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Kota Putera mengucapkan terima kasih kepada Rektor Kolej Universiti TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Insitute, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob di atas perbentangan serta perkongsian yang amat bermakna pada majlis itu.
Beliau sebelum ini pernah memaklumkan syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan unsur nadir bumi berhampiran Pelabuhan Kemaman.
Katanya, pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024 dan tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.
“Pihak Star Group juga telah melawat lokasi berkenaan dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024