Majlis bertujuan suntik motivasi kepada atlet SUKMA

- Advertisement -

KANGAR: Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perlis sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) diadakan buat pertama kali dengan tujuan menyuntik semangat para atlet negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, ia sekali gus sebagai langkah permulaan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di Perlis.

“Ini adalah satu permulaan untuk menggemilangkan sukan negeri Perlis, kita juga buat secara langsung dan mungkin selepas ini akan lebih ramai lagi yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan daripada pihak tertentu yang mendakwa majlis tersebut sebagai membazir dan tidak mendapat sambutan orang ramai.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan watan, pertunjukan bunga api, pesta makanan dan cabutan bertuah.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa acara berkenaan akan menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.

“Walaupun tak ramai, tapi insya-Allah selepas ini akan lebih ramai lagi,” katanya mengulas majlis yang dilangsungkan di Stadium Tuanku Syed Putra pada Sabtu, 3 Ogos lalu itu.

Beliau turut menambah bahawa majlis sebegini bukan sahaja memberi motivasi kepada atlet, tetapi juga kepada penyokong sukan negeri.

“Selepas ini, rakyat akan lebih terkesan untuk memajukan sukan negeri Perlis,” tambahnya.

Perlis menghantar seramai 284 atlet yang akan melibatkan diri dalam 28 acara daripada 37 sukan yang dipertandingkan di SUKMA di Sarawak pada 17 Ogos hingga 24 Ogos nanti. – HARAKAHDAILY 5/8/2024