
PADANG TERAP: Konvoi Kembara Jiwa Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Kuala Nerang telah berlangsung meriah serta penuh semangat kemerdekaan, di sini kelmarin.
Konvoi yang diketuai ADUN Kuala Nerang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria itu menyasarkan beberapa kampung berdekatan.
Kata Munir, program itu adalah susulan daripada Konvoi Kembara Merdeka yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman pada Khamis lalu.
“Kita di DUN Kuala Nerang menyahut cabaran ini untuk mengadakan konvoi di peringkat DUN. Selain menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan pada Ogos ini,” kata beliau.
Konvoi itu singgah di beberapa buah kampung iaitu Kampung Tanjung Kiri, Kampung Tanjung, Kampung Pisang, Kampung Padang Nyior, Kampung Banggol Sembilan dan Kampung Padang Sanai.
Selain mengedarkan Jalur Gemilang, golongan asnaf di kampung-kampung terbabit turut menerima sumbangan Beras Sejahtera dan barangan keperluan harian.
Konvoi berkenaan sempat singgah di Dataran Putra Kuala Nerang dan mengedar Jalur Gemilang kepada orang ramai sekitaran.
Munir juga bersama ahli konvoi meneruskan perjalanan ke Markas PAS Kampung Semeliang untuk bersama-sama menjayakan program kacau bubur asyura.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar itu menyertai ahli-ahli PAS berhampiran dan Majlis Ketua Kampung (MKK) kawasan terdekat memasak 16 kawah bubur asyura.
Kesempatan itu juga Munir ke program yang sama di Taman Akasia dan menyampaikan hadiah kepada pemenangan pertandingan bubur asyura paling sedap. – HARAKAHDAILY 5/8/2024





Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!