SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan diminta untuk menyatakan inisiatif yang dilakukan bagi mengatasi masalah keciciran dalam mengikuti Kelas AL Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting) berkata, kerajaan perlu mempunyai inisiatif lain selain daripada menggunakan fasiliti sedia ada yang dilihat tidak mencukupi.
“Saya dimaklumkan seperti mana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tadi, ada sesetengah sekolah yang tidak dapat melaksanakan kelas pengajian KAFA ni disebabkan oleh ramainya pelajar-pelajar iaitu dua sesi. Sesi pagi dan petang.
“Jadi adakah ada inisiatif yang lain yang membolehkan anak-anak pelajar-pelajar ataupun murid-murid ini belajar seperti mana masjid ataupun tempat-tempat tertentu sepertimana surau dan sebagainya,” ujar beliau.
Beliau berharap agar perkara itu dapat diberi perhatian agar tiada keciciran lagi bagi pelajar-pelajar untuk mengikuti kelas KAFA tersebut.
“Kerana ia (KAFA) lebih kepada pendidikan agama yang (menjadi) aset kepada kehidupan mereka di peringkat awal,” katanya lagi.
Ustaz Fairuz yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya pada sesi ‘Pertanyaan Lisan’ di Sidang DUN Sembilan, di sini hari ini.
Dalam soalan asalnya beliau meminta kerajaan untuk menjelaskan mengapa terdapat seramai 25,999 orang atau bersamaan 31 peratus daripada jumlah keseluruhan murid Islam di negeri ini tidak mengikuti KAP/SAR/KAFA berdasarkan maklumat pada persidangan lepas bertarikh 13 Oktober 2023.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan dalam jawapannya berkata, memang terdapat masjid atau surau yang mewujudkan kelas KAFA bagi mengatasi masalah itu.
Beliau mengalu-alukan tindakan tersebut, malah ada yang mengambil inisiatif mewujudkan kelas-kelas KAFA swasta bagi mengatasi masalah itu.
“Tetapi mereka juga menghadapi masalah yang sama. Penyediaan tempat untuk anak-anak kita belajar. Kita sedia maklum kawasan surau, kawasan masjid itu amat berkurangan,” ujarnya.
Katanya, masalah logistik itu menyebabkan kesukaran dalam meningkatkan jumlah kelas KAFA pada masa kini. – HARAKAHDAILY 5/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!