TMK2025: Batik Air bakal ‘terbang’ ke Alor Setar

- Advertisement -

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Murthy, di sini, membuahkan hasil.

- Advertisement -

Menurut beliau, syarikat tersebut bersetuju mengadakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar bermula Disember 2024 depan sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

“Alhamdullillah Batik Air Malaysia memberi komitmen yang baik dan bersetuju untuk mengadakan penerbangan Kuala Lumpur-Alor Setar mulai bulan Disember 2024 sempena TMK 2025,” maklum beliau.

Selain itu katanya, perbincangan juga melibatkan promosi, penyediaan pakej penerbangan dan lain-lain bersama syarikat tersebut sebagai rakan strategi menjayakan TMK 2025 yang hanya beberapa bulan dari sekarang.

“Bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Batik Air atas inisiatif yang akan diambil ini.

“Tentulah kerjasama ini akan membantu meningkatkan kehadiran pelawat dan pelancong ke Kedah,” tambah ADUN Kubang Rotan itu lagi.

Dalam pada itu katanya, pelbagai perancangan serta usaha dijalankan sama ada melibatkan agensi kerajaan, jabatan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta mahupun persendirian untuk menjayakan TMK 2025.

Pelancaran TMK 2025 dijangka akan disempurnakan di Kuala Lumpur pada 9 Ogos depan di mana Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memaklumkan, persediaan dalam pelbagai sudut sudah digerakkan.

Antaranya, Langkawi yang akan menjadi pintu masuk kepada pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara dan dijangka menjadi destinasi utama selain destinasi pelancongan di tanah besar.

Dalam pada itu TMK 2025 juga menyasarkan kemasukan pelancong dari Timur Tengah khususnya ke Langkawi berikutan pengunjung dari Tanah Arab itu merupakan golongan yang suka berbelanja. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!