KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan mana-mana pelabur atau agensi yang ingin meningkatkan peluang ekonomi di Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia dibuka kepada pelbagai jenis sektor.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih atas kunjungan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Azizi Mustafa ke Terengganu.
“MIDF kini sedang mencari peluang untuk meningkatkan ekonomi di Terengganu melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk dalam sektor pelancongan, pelabuhan (melalui GLC negeri), dan penjagaan kesihatan (KMI).
“MIDF juga berkongsi mengenai inisiatif mereka dalam menyokong pembangunan usahawan dengan membantu menyediakan dana untuk usahawan-usahawan dan kini MIDF berkolaboratif dengan banyak syarikat melalui pelbagai program,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri optimis dapat mencapai jumlah pelaburan masuk ke Terengganu sebanyak RM5 billion tahun ini.
Sasaran itu ditetapkan berdasarkan kejayaan Terengganu dalam merealisasikan pelaburan masuk bernilai RM2.4 bilion yang dicatat pada bulan Mac lepas.
Rekod pencapaian tersebut dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). – HARAKAHDAILY 4/8/2024