مِّنَ المُؤمِنينَ رِجالٌ صَدَقوا ما عٰهَدُوا اللهَ عَلَيهِ ۖ فَمِنهُم مَّن قَضىٰ نَحبَهُ وَمِنهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَما بَدَّلوا تَبديلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)”. [Al-Ahzab 23]
مِّنَ المُؤمِنينَ رِجالٌ صَدَقوا ما عٰهَدُوا اللهَ عَلَيهِ
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah;
Mereka berpegang erat kepada janji dan telahpun mengotakan janjinya kepada Allah iaitu mereka berjihad dan berkorban nyawa pada jalan Allah . Mereka itu luar biasa urusan kehidupannya dapat dilihat benar-benar berbeza, jelas kelihatan mereka sedang bersiap memenuhi pra syarat terpilih untuk syahid pada jalan Allah. Mereka beriman dengan Allah dan juga mengikuti dengan sebenarnya sunnah yang ditinggalkan Rasulnya. Mempraktikkanya dalam kehidupan dunia, dalam semua aspek kehidupan beragama samada aqidah, syariat dan akhlak menjauhi segala syirik khurafat, rekayasa dan penyimpangan daripada ketulinan agama.
Mereka itu ahli ibadah di malam hari, pahlawan tangkas perkasa pada siangnya. Mereka itu insan mulia kerana tidak berhajat redha manusia melainkan hanya redha Allah semata-mata. Mereka amal pesanan Jibril AS kepada Nabi SAW:
يامحمد عش ماشئت فإنك ميت واعمل ماشئت فإنك مجزى به وأحبب من شئت فإنك مفارقه وأعلم أن شرف المؤمن صلاته بالليل وعزه استغناؤه عن الناس
Maksudnya : Wahai Muhammad (SAW), Hiduplah sesukamu kerana kamu pasti akan mati, cintailah orang yang kamu ingin cintai kerana kamu pasti akan berpisah dengannya. Beramallah sesukamu kerana kamu akan diberi balasan atas setiap amalan tersebut. Kemudian (Jibril AS ) berkata : Wahai Muhammad (SAW), kemuliaan seorang mukmin itu datang bilamana ia solat malam (Qiyamullail) dan kehormatannya akan datang ketika ia tidak bergantung harap redha manusia. [ Hadis Hasan Riwayat Al-Tabarani ].
Untuk sampai kepada tahap semua itu memerlukan ilmu dan kefahaman mendalam terhadap dua pengangan unggul umat Islam iaitu Quran dan Hadis Nabi SAW. Amat bahaya kalau kata taat, tetapi tidak tahu apa isi kepada ketaatan dan tidak didasari dengan ilmu serta pentunjuk wahyu Allah. Ramai yang boleh bercakap perkara agama , berpakaian cara agama , mengikrarkan taat dan berjihad untuk agama, tetapi menyimpang daripada wahyu Allah dan sunnah yang diajarkan Nabinya. Benarlah sabda Nabi SAW :
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُهُ، يَنْفُوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ
Maksudnya : “Ilmu ini akan dibawa oleh para ulama yang adil dari tiap-tiap generasi. Mereka akan menafikan segala penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang melampau, menolak kebohongan pelaku kebathilan dan ta’wilan orang-orang jahil”. [Riwayat al-Baihaqi]
Jihad mempertahankan agama adalah anugerah Allah kepada insan terpilih. Kita yang mengetahui tentang kefardhuan jihad dan mempelajari tentangnya menunggu-nunggu agar Allah rezekikan kepada kita sama seperti saudara kita yang telah syahid. Walaupun belum tiba masa ketikanya kita harus bersedia untuk itu , justeru itu bagi sesebuah kerajaan yang berdaulat perlu ada bala tenteranya sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan.
Walaupun anugerah hebat itu hanya kepada insan terpilih , namun sebagai seorang Islam yang mengimani ada balasan syurga dan neraka, kita juga sangat mendambakan pengakhiran hidup dunia kita yang sementara ini dengan memperolehi kemulian dan mendapat kelebihan mati syahid di jalannya sebagaimana mereka.
وَما بَدَّلوا تَبديلًا
“dan mereka tidak merubah (janjinya)”
Dalam masa menunggu-nunggu peluang itu, hati mereka tetap dalam iman. Mereka umpama Quran bergerak dalam rupa praktikal dan amalan. Sunnah Rasulullah SAW sentiasa segar dan mekar dalam akhlak dan urusan muamalat mereka. Mereka tidak akan menukar iman dengan apa pun dalam dunia.
Mereka cintakan akhirat lebih daripada dunia dan segala isinya. Dunia pada mereka tiada nilai berbanding akhirat yang dekat dan terbayang-bayang dalam hati mereka. Tidaklah mereka itu seperti golongan munafik yang pandai bercakap sahaja, tetapi apabila sampai masa perang, mereka mula mencari alasan bagi memastikan dunia mereka dan segala kemewahan serta keseronokan tidak hilang.
Mereka amat berharap supaya nyawa mereka diambil semasa mereka sedang memperjuangkan agama Allah . Sementara itu, mereka tidak lupa menjalani kehidupan dunia seadanya. Mereka tetap taat kepada Allah kuat berpegang kepada sunnah Rasulnya.
Takziah buat seluruh ahli keluarga Ismail Haniyyeh serta umat Islam seluruhnya. Semoga beliau digolongkan di kalangan syuhada’ dihimpunkan bersama para Anbia’ dan golongan orang-orang Solehin.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 4/8/2024