BAYAN LEPAS: Masalah kilang haram di negeri ini, bukanlah isu baharu, malah seringkali dibangkitkan sama ada melalui ADUN pembangkang diwakili Perikatan Nasional, mahupun oleh persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS), Zikrullah Ismail berkata, namun isu ini masih tiada penyelesaian, sebaliknya dilihat menjalankan operasi seperti biasa seolah-olah bebas lepas dari peraturan.
Menurut beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalam, sejak 2022 hingga 2023, hanya 10 kilang haram sahaja berjaya ditutup, tetapi tidak dirobohkan, manakala 920 buah dikenakan kompaun.
Katanya, kompaun 920 kilang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM168,720, dan ini bermakna setiap daripadanya hanya perlu membayar kompaun lebih kurang RM184 sahaja.
“Situasi sebegini menunjukkan seolah-olah mereka ‘diberi muka’ oleh kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
“Alangkah malangnya negeri bertuah yang diterajui DAP ini membocorkan potensi ekonomi dengan tidak diambil tindakan wajar terhadap kilang haram ini,” bidas beliau.
Dengan kompaun yang rendah ujar Zikrullah, tentulah tidak memberi apa-apa kesan terhadap pemilik kilang haram berkenaan, sedangkan dalam masa yang sama memperolehi keuntungan berlipat ganda.
Maka tidak hairanlah katanya, kilang haram tumbuh bebas dan berkembang tetapi mengaut keuntungan atas ketidakadilan pada rakyat serta kebocoran terhadap hasil serta potensi ekonomi negeri.
“Apa yang paling digusarkan, adakah ada pihak yang mengaut untung ‘luaran’ daripada aktiviti kilang haram ini? Jika ia benar wujud, maka ini adalah malapetaka besar untuk negeri ini.
“Semua rakyat harus buka mata dalam isu sebegini. Pemimpin kerajaan negeri juga kita harap jangan terus dibutakan hanya kerana ketaksuban politik binari atau keegoan yang akhirnya merosakkan keharmonian,” tegas beliau.
Terdahulu, isu ini telahpun dibangkitkan oleh ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim@Md Hashim berkenaan pencemaran akibat operasi kilang haram tersebut terhadap penduduk di Permatang Pasir.
Namun kata Zikrullah, isu itu hanya mendapat perhatian dan liputan daripada media-media berbahasa Melayu sahaja, termasuk satu media ‘online’ berbahasa Mandarin dan paling menyedihkan tiada satupun portal berbahasa Inggeris membuat liputan.
“Situasi ini nampak seperti kawalan minda pembaca dalam kalangan rakyat terhalang daripada mendapat maklumat berkaitan isu besar ini. Pembaca media bahasa Inggeris di Pulau Pinang dilihat akan terus terperangkap dalam ‘bubbles’.
“(Iaitu) kononnya negeri maju ni, suci daripada kewujudan ekonomi haram dan kilang haram yang tumbuh melata yang menjadi punca kerosakan keharmonian masyarakat,” bidas beliau lagi.
Dalam pada itu beliau turut melontarkan persoalan, mengapa kilang haram di negeri itu ditatang seperti ‘anak emas’ sedangkan kewujudan kilang-kilang itu telah memberi impak negatif kepada alam sekitar dan penduduk persekitaran.
Sedangkan penduduk setempat terpaksa menanggung kos-kos luaran negatif (negative externalities) dalam bentuk pencemaran dan gangguan bising.
Justeru beliau mengharapkan, semua pihak tidak mengira fahaman politik, perlu bersatu agar aktiviti kilang haram ditangani segera oleh pihak berkuasa dan pentadbir negeri.
“Selamatkan Pulau Pinang dari anasir negatif, jernihkan aktiviti ekonomi, pelihara keharmonian masyarakat dan pencemaran selain bebaskan dari dibelenggu pemikiran dengan memilih media tertentu sahaja untuk liputan isu-isu masyarakat,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 4/8/2024