KANGAR: Perlawanan akhir pada Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI peringkat negeri Perlis telah mempamerkan aksi pertarungan sengit antara pasukan-pasukan bertanding di D’Futsal, di sini, hari ini.
Pertandingan melibatkan pelajar cilik dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berumur antara empat hingga enam tahun telah menyerlahkan bakat dalam permainan dan sukan yang mantap.
Dalam acara bola sepak yang mempertemukan pasukan Padang Besar A (PBFC A) dan pasukan Arau B, kedua pasukan telah memanaskan arena pertandingan menerusi aksi berbalas serangan hingga menggamatkan sokongan para ibu bapa selaku penonton utama.
Gol pertama perlawanan dijaringkan oleh pasukan Arau B setelah berjaya menawan gol lawan, setelah gol pertama oleh PBFC A telah dibatalkan, pun begitu percubaan gol kedua dan ketiga oleh pasukan Arau B juga gagal memasuki gawang gol PBFC A.
Separuh masa kedua menyaksikan percubaan oleh pasukan PBFC A yang menyepak dari sudut tepi, namun masih gagal menjaringkan gol.
Sorakan dari waris pemain terus menggamatkan suasana, memberi sokongan padu kepada anak-anak mereka yang bermandi peluh di padang.
Walaupun masih di peringkat pra-sekolah, gaya permainan mereka membayangkan potensi untuk digilap ke peringkat pemain profesional suatu masa nanti.
Keputusan akhir menyaksikan pasukan Arau B muncul juara dengan jaringan 1-0, menewaskan pasukan Padang Besar A.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga Menteri Besar menyaksikan sendiri perlawanan peringkat akhir tersebut.


Dalam pada itu, perlawanan akhir bola jaring melibatkan anak-anak pelajar perempuan pula menyaksikan pertarungan sengit antara The Junior Next Star 1 (TJNS 1) dan Kangar Hunter (KH).
Pertandingan bola jaring kali ini menyaksikan saingan yang lebih sengit berbanding bola sepak di mana pada 10 minit pertama, KH memulakan permainan dengan cemerlang apabila menjaringkan tiga gol berbanding dua gol TJNS 1.
TJNS 1 kemudian bangkit dengan satu gol untuk menyamakan kedudukan, manakala KH menambah satu lagi gol, diikuti dengan TJNS 1 yang berjaya mengejar, menjadikan kedudukan separuh masa pertama KH (3) dan TJNS (5).
Separuh masa kedua menyaksikan TJNS 1 terus mempamerkan aksi cemerlang dengan dua gol tambahan, menjadikan kedudukan 7-5, namun KH kemudiannya menyamakan kedudukan 7-7 dan menguasai permainan dengan menjaringkan tiga gol berturut-turut, menjadikan kedudukan 10-7.
Walaupun TJNS 1 berusaha keras untuk mengejar, KH mendahului dengan keputusan akhir 12-9 di mana keletihan jelas terlihat pada wajah pemain, pertandingan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.
Dalam 10 minit tambahan, TJNS 1 menunjukkan ketahanan dan semangat yang luar biasa dengan menjaringkan tiga gol lagi untuk mencatatkan kemenangan 15-13.
Pertandingan berakhir dengan sorakan gemuruh daripada penonton yang menyaksikan perlawanan sengit dan penuh aksi ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2024


