Tiada tanah hutan dipajak peniaga Cina

- Advertisement -

GUA MUSANG: Dakwaan yang mengatakan kononnya kerajaan Kelantan memajak tanah hutan termasuk kawasan pembalakan kepada syarikat milik peniaga Cina adalah tidak berasas.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan itu berupa tuduhan berat kerana dibuat tanpa sebarang data yang kukuh, sebaliknya hanya bersifat khabar angin.

“Saya nak jelaskan bahawa kenyataan Kelantan beri pajakan kepada pihak asing tak betul.

“Tuduhan itu dibuat lebih kepada khabar angin tak boleh jadi asas, sebab dakwaan tersebut serius,” katanya pada sidang media Perikatan Nasional selepas penamaan calon PRK DUN Nenggiri, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa lot tanah di Kelantan diserah kepada seorang ahli perniagaan Cina termasuk membabitkan aktiviti pembalakan.

Tuan Ibrahim juga berkata, apa yang berlaku segala aktiviti termasuk pembalakan di negeri ini mematuhi peraturan, malah kerajaan negeri turut menerima sijil pematuhan had penebangan.

Tambahnya, jika dilihat laporan pembalakan di semua negeri, Kelantan antara yang mematuhi had penebangan yang dibenarkan.

Malah, katanya ekoran pematuhan itu (penebangan) kerajaan Kelantan memperolehi anugerah sijil pematuhan had penebangan. – HARAKAHDAILY 3/8/2024

- Advertisement -