KUALA LUMPUR: Pengalaman hampir 20 tahun Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd menyantuni jemaah haji adalah budaya Andalusia menjaga kebajikan jemaah.
Pengerusi Eksekutif, Dato’ Mohd Daud Che’ Ngah berkata, budaya Andalusia inilah yang menjadikan Andalusia mendapat tempat kedua terbaik dalam pengurusan haji.
“Setiap jemaah haji yang bersama Andalusia akan mendapat sentuhan dan bimbingan daripada sudut ‘Rabbaniyah’ dan ‘Rububiyah’,” katanya dalam satu Majlis Perjumpaan Ukhwah Jemaah Haji Andalusia Musim Haji 1445H/2024M di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang perjalanan ibadah haji ini, para jemaah dapat melaksanakan Rabbaniyah ini bermaksud tuntutan Allah dalam melaksanakan rukun Islam yang kelima yang perlu dihukumkan melalui ‘Rububiyah’.
‘Rububiyah’ pula adalah perlaksanaan membesarkan Allah terhadap ibadah dan pengetahuan ilmu para jemaah haji.
Selain itu, Majlis Ukhuwah Haji ini bertujuan meraikan serta mengiktiraf hubungan silaturrahim berpanjangan bagi jemaah haji Andalusia dan para pentadbiran Andalusia.
Sehubungan itu, majlis yang dihadiri lebih kurang 300 jemaah haji bersama ahli keluarga mereka telah diadakan kali kedua, iaitu yang pertama di tanah suci bagi mengetahui perkembangan kesihatan jemaah haji.
“Majlis ini juga mengambil kesempatan untuk membaiki kesilapan dan memperjelas segala permasalahan yang berlaku antara permasalahan polisi atau sistem rasmi pengurusan haji.
“Sekiranya, apa yang pihak Andalusia lakukan atas nama kebaikan, percayalah bahawa itu adalah ikhtiar kami sebaiknya atas berkat mesyuarat bersama,” jelasnya.
Sementara itu, pihak Andalusia juga berbesar hati telah menghadiahkan tiga cabutan bertuah kepada para jemaah haji pada majlis silaturrahim sesama mereka.
Cabutan bertuah pertama ialah percutian ke Padang, Indonesia yang bernilai RM2,298. Cabutan bertuah kedua pula ke China dan Mongolia yang bernilai RM4,998 dan yang ketiga pula, percutian yang bernilai RM5,559 ke Turkey.
Uniknya majlis ukhuwah haji kali ini, para jemaah haji yang berdaftar dengan Andalusia akan mendapat sekuntum bunga ros sebagai tanda ingatan yang sentiasa segar dari Andalusia. – HARAKAHDAILY 3/8/2024