Gerakan turun padang bantu kempen PN di Nenggiri

Foto: RIZAL TAHIR
- Advertisement -

GUA MUSANG: Biarpun jumlah pengundi kaum Cina di DUN Nenggiri hanya 0.2 peratus namun Gerakan tetap turun padang bagi membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Presiden Parti Gerakan, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebagai sebuah parti komponen PN, parti itu tetap turun padang bagi membantu kempen.

“Pengundi dalam kalangan pengundi Cina hanya sekitar 0.2 peratus di DUN Nenggiri, namun ia tidak menghalang petugas pilihan raya Gerakan membantu kempen calon PN,” katanya pada sidang media selepas perarakan calon di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini, hari ini. (Foto atas)

Hadir sama pada sidang media itu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Jumlah pengundi kaum Cina pada daftar pilihan raya lepas iaitu 119 orang, penduduk Orang Asli (2,560 orang), pengundi Melayu 17,561 orang) dan pengundi awal (14).

Bagaimanapun daftar Pemilih Pilihan Raya tambahan yang dikemas kini pada 18 Jun 2024 akan digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini seramai 20,259 orang.

Dr Dominic juga berkata, Gerakan akan berusaha mendapat sokongan pengundi bagi memenangkan calon PN pada PRK Nenggiri. – HARAKAHDAILY 3/8/2024

- Advertisement -