SIMPANG RENGGAM: Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Johor tahun 2024 dirasmikan dengan semua hadirin membacakan surah Al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Pengerusi Biro Politik HAMAS, as-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh yang dibunuh ejen Israel baru-baru ini.
Selepas pembacaan surah Al Fatihah, semua yang hadir turut sama-sama mengalunkan nasyid doa Qunut Nazilah yang ditujukan kepada pengganas Zionis-Israel dan sekutunya dan diakhiri dengan laungan takbir secara beramai-ramai.
Pembacaan surah Al Fatihah, Qunut Nazilah dan takbir tersebut dipimpin oleh perasmi program tersebut yang merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz.
Ustaz Nawfal dalam ucapannya berharap agar doa-doa yang dibacakan oleh anak-anak PASTI itu akan sampai ke bumi Palestin untuk menghancurkan Zionis-Israel.
Beliau turut menzahirkan kesayuan atas nasib yang menimpa anak-anak Palestin yang sebaya anak-anak PASTI di negara ini.
“Kita rasa beruntung hari ini. Kita dapat melihat anak-anak PASTI kita berhimpun hari ini. Nasib mereka jauh lebih baik daripada saudara seIslam kita di bumi Palestin.
“Mereka berjuang bukan untuk menang bola. Mereka berjuang untuk menangkan Islam. Itulah yang kita harapkan kepada anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan program tersebut yang berlangsung di Padang Penjara Simpang Renggam, di sini, hari ini.
Ahmad Nawfal turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa kerana bersama dengan PASTI disebabkan mereka mempunyai komitmen yang selari dengan hasrat institusi pendidikan tersebut.
“Kita punya azam yang tinggi untuk memastikan bumi Malaysia ini terus kukuh dipertahankan dan mempertahankan Islam.
“Sebab itulah apa yang kita buat hari ini sebahagian daripada tuntutan supaya anak-anak ini cergas dan insya-Allah melahirkan kecerdasan seterusnya,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar program yang dianjurkan pada hari itu iaitu sukan bola sepak bola dan bola jaring dapat melahirkan tunas-tunas yang akan terus membanggakan Islam dan bukan semata-mata di atas padang, tetapi di segenap lapangan.
“Saya ambil ruang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu-cikgu dan juga jurulatih-jurulatih. Saya difahamkan ada kawasan memang ambil jurulatih khusus untuk acara ini bukan pakai cikgu-cikgu saja dia ada jurulatih yang bertauliah,” katanya.
Beliau juga berharap agar semua ibu bapa memberikan kepercayaan terhadap kualiti pengadilan perlawanan tersebut kerana semua pengadil yang diambil adalah pengadil bertauliah dan boleh dipercayai.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian itu ialah
Timbalan Penguasa Padang Penjara Simpang Renggam, Siti Noor Zunnurain Arbain dan Yang Dipertua PAS Kawasan Simpang Renggam, Ustaz Muhammad Taufik Tubi.
Juga Pengarah Jabatan PASTI Negeri, Mohd Fairuz Alias dan Pengarah Kejohanan, Muhammad Amirul Solehin Ahmad Sobri.
Sukan tersebut melibatkan 24 kontijen PASTI kawasan dari seluruh Negeri Johor yang berentap bagi merangkul juara keseluruhan bagi peringkat negeri dan bakal mewakili PASTI negeri ke peringkat kebangsaan.
Turut mencuri tumpuan ialah persembahan daripada Perguruan Seni Silat Gerak Kilas turut disajikan kepada semua tetamu yang hadir sebaik sahaja selesai ucapan perasmian. – HARAKAHDAILY 3/8/2024