KUALA TERENGGANU: “Bila sudah berada di gelanggang, kamu sedang membawa nama negeri,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak nanti supaya bertanding dengan sepenuh hati.
Menerusi satu catatan di laman sosialnya, beliau memaklumkan pasukan bola sepak adalah yang pertama membuka tirai SUKMA 2024 dengan menentang pasukan Johor pada 12 Ogos ini.
Katanya, beliau dan timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli meluangkan masa dan memantau sesi latihan pasukan bola sepak SUKMA Terengganu, petang kelmarin.
Menurutnya, pada edisi lalu, pasukan bola sepak negeri muncul juara selepas menewaskan Pulau Pinang pada perlawanan akhir dengan kemenangan 2-0.
Ini, ujarnya sekali gus menyamai pencapaian Pahang dan Perak yang telah merekodkan kejuaraan sebanyak empat kali dalam acara bola sepak di SUKMA.
“Insya-Allah, dengan semangat juang yang tinggi dan usaha yang gigih dari para pemain, di samping mematuhi setiap arahan daripada jurulatih, tidak mustahil kita mampu muncul juara untuk kali kedua berturut-turut,” ujarnya.
Ini, tambah ADUN Tepuh itu, sekali gus menjadi negeri pertama yang meraih kejuaraan buat kali yang kelima.
“Semoga semangat Hanelang meresap ke dalam jiwa semua atlet Tranung Kite.
Selamat berjuang buat semua atlet Terengganu. Saya doakan semoga kita menjadi juara keseluruhan untuk edisi SUKMA kali ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Fadhli Rahmi pula turut singgah di Padang Latihan Ragbi di Gong Badak.
“Alhamdulillah sesi latihan oleh atlet-atlet ragbi semakin bersemangat menjelang SUKMA 2024 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya pada laman sosialnya.
Menurutnya, melihat kepada momentum semangat atlet, beliau yakin dan percaya dalam sukan ragbi, Terengganu mampu mencipta kejayaan dengan memperoleh pingat emas dalam edisi SUKMA kali ini.
“Sama-sama kita doakan agar para atlet ini sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik sentiasa, insya-Allah,” ujarnya yang juga ADUN Rantau Abang.
Majlis perasmian SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak akan diadakan pada 17 Ogos sementara majlis penutupan pula 24 Ogos. – HARAKAHDAILY 3/8/2024