PERMATANG PAUH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak bersikap tegas terhadap kilang-kilang haram di negeri itu adalah amat mengecewakan, kata ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim@Md Hashim.
Menurut beliau selaku juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh memberitahu sebelum ini pihaknya telahpun menyuarakan bantahan melalui pelbagai saluran agar isu ini diambil perhatian oleh kerajaan negeri.
“Saya juga telah bangkitkan isu kilang haram ini pada Sidang DUN 24 Mei lalu. Malah saya bersama wakil penduduk juga telah berjumpa dengan YB Exco berkaitan. Tetapi sampai sekarang tidak diendahkan. Kilang haram ini masih lagi beroperasi,” katanya agak kesal.
Jelas Amir, sebelum ini beliau telah membangkitkan isu kilang haram di Permatang Ara, Permatang Pasir dan membawa suara bantahan penduduk ke peringkat kerajaan negeri.
Di Pulau Pinang, tambah beliau, terdapat 488 buah kilang haram dan 155 buah daripadanya di Daerah Seberang Perai Tengah, sementara salah satunya iaitu kilang VS Polymer yang terdapat di Permatang Ara.
“Akibat operasi kilang haram VS Polymer ini, penduduk mendakwa kesihatan dan emosi mereka terganggu akibat pencemaran udara dan bunyi yang dikeluarkan oleh kilang haram ini.
“Kita ada bukti video effluent (air kotor yang berwarna putih) telah dilepaskan daripada kilang haram ini ke parit berdekatannya.
“Kenapa Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga kini masih membisu berkenaan hal ini sedangkan aduan telah dibuat. Kebal sangatkah kilang haram VS Polymer ini? Bebas beroperasi hingga sekarang,” soalnya lagi.
Beliau terdahulu menyertai penduduk mengadakan himpunan bantahan kilang haram di Simpang Tiga Permatang Pasir di sini. – HARAKAHDAILY 2/8/2024