ALLAH SWT memerintahkan manusia dalam menjalani kehidupan untuk bekerja bagi menyara hidup. Selagi berkemampuan mencari rezeki, kita mesti meneruskannya kerana ini merupakan perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Jumuah, ayat 10: “Apabila telah ditunaikan solat, Maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Dalam satu riwayat hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang baik lagi halal, maka bagi mereka akan mendapatkan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” (HR Al- Baihaqi).
Maka jelaslah bahawa bekerja dituntut dalam Islam dan adalah keperluan dalam hidup kita di muka bumi ini. Allah SWT tidak pernah menegah hambanya untuk bekerja dan mencari rezeki seperti dalam firmanNya yang dinyatakan di atas.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Mulk, ayat 15:
“Dialah yang menjadikan bumi ini mudah digunakan bagimu, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)”.
Namun begitu, keberkatan mencari rezeki merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan supaya hidup selamat dan bahagia. Pelbagai cara boleh kita lakukan, antaranya melalui bekerja sendiri atau makan gaji.
Jika rezeki yang dibawa balik bukan dari sumber halal, sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk kepada kita dan ahli keluarga. Oleh itu, kita perlu tegas kepada diri kita dalam mencari rezeki. Biarpun hasil pendapatan tidak seberapa, namun yang penting ialah keberkatan rezeki itu.
Perlu diingat bahawa rezeki bukan sekadar kekayaan atau wang ringgit semata-mata, malah dalam bentuk ilmu, kesihatan, ketenangan jiwa, anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Semoga Allah kurniakan kesyahidan kepada Ismail Haniyeh dan berbahagia di syurga bersama keluarga dan rakan seperjuangan beliau di sana amiin. Mati adalah permulaan kebahagiaan kepada orang mukmin. – HARAKAHDAILY 2/8/2024