Kaum minoriti tidak diketepi peserta Ladang Rakyat

- Advertisement -

GUA MUSANG: Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2006 membantu ribuan penduduk miskin di seluruh Kelantan dengan agihan dividen RM200 sebulan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sehingga sekarang 4,826 peserta menikmati dividen secara bulanan hasil daripada keuntungan ladang kelapa sawit diusahakan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Katanya, dividen yang diagih tersebut hasil daripada keuntungan ladang sawit yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Sekiranya keadaan kewangan mengizinkan kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk menambah jumlah peserta pada masa akan datang.

“Namun ia bergantung kepada prestasi kewangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembahagian Dividen Ladang Rakyat bagi Parlimen Gua Musang dan Kuala Krai di Ladang Sungai Terah di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Zameri Mat Nawang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato’ Zamri Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Zulkifli Ab Rahman dan wakil-wakil rakyat.

Peserta Ladang Rakyat dipilih 100 orang daripada setiap DUN di Kelantan dan hampir 300 penduduk Orang Asli.

Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri tidak mengetepi kaum-kaum lain termasuk masyarakat Orang Asli disenarai sebagai peserta Ladang Rakyat.

“Cadangan untuk menambah jumlah peserta termasuk masyarakat Orang Asli bergantung kepada prestasi kewangan atau pembukaan ladang baru pada masa akan datang.

“Masyarakat Orang Asli diberi keutamaan memandangkan ada penempatan mereka berada tidak jauh daripada ladang yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Ladang Rakyat,” ujarnya.

Sejak Ladang Rakyat ditubuh pada 2006 sebanyak RM180 juta diagih kepada 4,826 peserta. Dan semalam RM3.8 juta dividen diagih kepada peserta dari Gua Musang dan Kuala Krai bagi tempoh April hingga Julai 2024.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri yang diteraju PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama.

Menurutnya juga peserta beragama Islam digalak mengikuti kelas pengajian agama sekali sebulan sekali.

“Peserta diwajibkan menghadiri kelas pengajian agama sebulan sekali sebab kita tidak tidak mahu miskin di dunia dan miskin di akhirat dan susah di dunia dan susah juga di akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024