Ilmu bezakan hadis sahih, palsu
Ada manusia yang berhujah mengenai agama tanpa ilmu. Dia berbahas mengenai pandangan al-Quran, hadis dan ulama dengan tiada ilmu. Ada ulama yang mentafsir ayat ketiga Surah Al-Hajj ini sedemikian.
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یُجَـٰدِلُ فِی ٱللَّهِ بِغَیۡرِ عِلۡمࣲ وَیَتَّبِعُ كُلَّ شَیۡطَـٰنࣲ مَّرِیدࣲ
Maksudnya: Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan dia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan. (Al-Hajj: 3)
Sebagai contoh, Kasim Ahmad yang dipuja oleh orang ramai. Dia mengkritik hadis. Masalahnya ialah dia sendiri tidak memahami hadis. Bukan kita tidak boleh mengkritik pandangan ulama, tetapi asasnya biarlah kita ada ilmu. Nak kritik sesuatu, kita perlu memahaminya terlebih dahulu.
Contohnya, nak kritik hadis, kita sendiri perlu belajar hadis. Biar kita memahami dahulu itu hadis apa, perbincangan ulama mengenainya, syarat nak menerima hadis itu dan istilah-istilah yang digunapakai oleh ulama.
Ulama terdahulu telah mengkritiknya. Oleh sebab itu, adanya hadis sahih, hadis hassan, hadis dhoif dan hadis maudhu’. Ulama bukan menerima sesuatu dengan bodoh. Asal ada orang kata ia adalah hadis, ulama telan begitu sahaja. Tidak.
Hadis ada kategorinya. Perlu tengok matan atau teks hadis. Yang kedua, tengok rantaian perawi yang dipanggil sebagai sanad. Sanad itu bersambung atau tidak. Kemudian, perlu tengok perawi atau orang yang merawikan hadis, bagaimana latar belakangnya.
Hadis ini ada kriterianya untuk diterima. Antara sebab mengapa suatu hadis tidak diterima ialah hadis tersebut menceritakan mengenai azab atau ganjaran pahala, tetapi ia melebihi daripada apa yang disebut dalam al-Quran. Ataupun ia menceritakan sesuatu perkara yang tidak masuk akal.
Contohnya ada dalam kisah Nabi Nuh. Satu hadis yang maudhu’ menyatakan:
ان سفينة نوح طافت بالبيت سبعاً ، وصلت عند المقام ركعتين
Kononnya Nabi Nuh menaiki bahteranya sehingga sampai di hadapan Kaabah. Bahteranya bertawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Hal itu munasabah lagi kerana bahtera boleh berpusing di atas air. Yang parahnya adalah disebut bahawa bahtera itu berhenti di makam Nabi Ibrahim dan ia menunaikan solat sunat dua rakaat. Macam mana pula kapal boleh menunaikan solat? Ia tidak masuk akal. Jadi, inilah hadis yang kita tidak boleh terima.
Antara contoh hadis palsu juga bila mana satu perkara yang kecil dibuat tetapi diberi ganjaran yang terlalu besar. Sebagai contoh jika ada hadis menyebut, sekiranya seseorang itu membaca sekian dan sekian, dia akan mendapat tujuh mahligai. Besarnya adalah seluas dari satu hujung ke satu hujung yang lain, sampai ke petang masih tidak sampai lagi. Ataupun burung-burung yang terbang di dalam mahligai itu tidak sampai ke mana-mana selama tujuh puluh tahun. Jadi, tidak munasabahlah. Ibarat orang yang memperoleh 3A dalam peperiksaan, tetapi diberi hadiah RM1,000.
Hadis-hadis seperti ini disebut sebagai hadis maudhu’. Ia ditolak terus. Sehingga ramai ulama yang membukukannya dengan tajuk “Al-Maudhu’aat” iaitu hadis-hadis yang direka. Nak suruh kita beringat, kalau berjumpa dengan hadis-hadis tersebut, jangan terus telan. Nak beritahu, ulama mengkritik.
Ada kaedah Al-Jarh Wa Al-Ta’dil dalam ilmu hadis. Mengkritik orang yang meriwayatkan hadis. Katakanlah hadis datang daripada Nabi, disampaikan kepada sahabat, turun kepada tabi’in dan seterusnya. Dilihat dalam sejarah, adakah orang itu bertemu dengan yang lainnya?
Contohnya, si A meriwayatkan daripada B. Si A hidup bila, tinggal di mana? Si B pula tinggal di mana? Tahun sama ke atau lain-lain? Adakah si A dan si B pernah berjumpa? Kemudian disemak lagi, adakah dia boleh dipercayai atau jenis yang suka berbohong? Setara mana kuat ingatannya? Betapa telitinya ulama. – HARAKAHDAILY 2/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.