HEBAT 5.0 bermula hari ini sehingga 4 Ogos

Datuk Dr Ustaz Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Himpunan Sukarelawan Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan berlangsung di Pulau Jeha, Chenor, Pahang bermula hari ini sehingga 4 Ogos.

- Advertisement -

Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, program dinamakan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT) merupakan siri kelima sepanjang penubuhan entiti tersebut.

Maklumnya, HEBAT kali ini dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, manakala perasmian penutup akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Program ini bertujuan untuk melatih sukarelawan berkenaan teori dan praktikal ketika bencana, antara modul yang akan dibentang adalah prosedur operasi standard (SOP) ketika bencana, bantuan awal kecemasan, operasi menyelamat (Rescue) dan pelbagai aktiviti latihan berbentuk bantuan kepada para sukarelawan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Pahang menjadi tuan rumah pada kali ini akan menyambut kehadiran peserta daripada seluruh negara dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan pengurusan dan bantuan kepada mangsa bencana.

“Berdasarkan pengalaman pengurusan bencana sebelum ini, HEBAT 5.0 dirangka agak istimewa pada kali ini kerana menfokuskan aspek kemahiran pertolongan kecemasan tahap tinggi.

“Juga kemahiran bertahan hidup (survival skill) para petugas bantuan. Semoga penganjuran hebat kali ini akan mencapai objekktif yang ditetapkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Kali pertama diadakan himpunan bersifat latihan teori dan praktikal adalah pada 2015 di Hulu Langat, Selangor dan kali kedua pada 2017 di Tumpat, Kelantan.

Manakala penganjuran kali ketiga diadakan di DITC, Kemaman, Terengganu pada 3-5 Jun 2022, manakala keempat dilaksanakan di Pusat Latihan PAS Kedah, Sedim, Kulim pada 10-12 Februari tahun lalu. – HARAKAHDAILY 2/8/2024

- Advertisement -