GUA MUSANG: Kerajaan negeri memperkasakan semula Program Desa Taqwa yang dilaksanakan sejak 1991, hasil cetusan idea Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, maqasid yang dilaksanakan sekarang bagi menyempurnakan hasrat Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk merealisasikan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Katanya, program tersebut diperkasakan semula untuk memastikan rakyat Kelantan dididik dengan nilai ketaqwaan mengikut acuan Islam berdasar konsep amar ma’ruf nahi mungkar.
“Alhamdulillah dapat disempurnakan Majlis Pelancaran Pemerkasaan Desa Taqwa di Kampung Limau Kasturi semalam,” katanya pada catatan di laman media sosialnya hari ini.
Program tersebut diadakan di pekarangan rumah Penghulu Limau Kasturi Mohd Shaffien. Hadir sama wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Pada tahun 1991 diwujudkan sebanyak 101 Desa Taqwa yang membabitkan kampung terpilih di seluruh Kelantan.
Kerajaan negeri turut menyalur peruntukan sebanyak RM100,000 setahun bagi menjayakan pelbagai program di Desa Taqwa terbabit.
Memandangkan perjalanan Desa Taqwa agak suram, maka pada 2019 kerajaan melaksanakan Pelan Tindakan Strategik Pemerkasaan Desa Taqwa dan mengambil keputusan diletak di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan.
Dan mulai tahun lepas kerajaan negeri memperkasakan semula 10 Desa Taqwa yang masih aktif untuk diberi nafas baharu.
Dua daripadanya dilancar semula pada akhir tahun lepas iaitu Desa Taqwa Kalai, Jeli dan Desa Taqwa Serdang Bachok.
Manakala tahun ini kerajaan negeri melancarkan semula empat Desa Taqwa iaitu di Limau Kasturi, Bukit Durian Tanah Merah, Kampung Jal Kok Lanas dan Kampung Petanding Kuala Krai.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bina Insan Rafie Yusof berkata, Desa Taqwa Limau Kasturi menepati kriteria yang ditetapkan untuk diperkasakan semula.
Katanya, kriteria tersebut iaitu kesungguhan ahli jawatankuasa pentadbir, terdapat perusahaan kecil dan sederhana, kemudahan infrastruktur dan mempunyai kelas PASTI atau tadika.
“Desa Taqwa Limau Kasturi mempunyai projek menghasilkan makanan sejuk beku, ternakan lembu, ikan dan aktiviti agama sentiasa hidup,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 2/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!