KUALA LUMPUR: Tidak hairan ramai murid keciciran pembelajaran dan gagal menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) kerana bebanan silibus dan sukatan pelajaran yang susah.
Perkongsian rata-rata netizen mengenai kritikan isu silibus ini sudah lama manjadi bualan ibu bapa. Malahan ada yang menganggap ia seakan membunuh minat belajar anak-anak.
Sebuah hantaran ibu bapa melalui laman sosial Facebook telah meluahkan rasa kecewa mengenai prestasi pelajaran anaknya di sekolah apabila mengambil kad laporan prestasi anak di sekolah.
Setelah diperhatikan puncanya, dia mendapati semua soalan-soalan peperiksaan sangat berbeza dengan apa yang dipelajarinya dahulu.
“Hari ini, hari kad laporan anak saya. Dia masih sekolah menengah rendah. Sata tidak mengharapkan keputusan cemerlang melangit.
“Subjek matematik sangat-sangat lemah. Yang mengejutkan saya adalah dengan keputusan sebegitu dia mendapat nombor tujuh di dalam kelas dan nombor 11 di dalam tingkatan yang ada hampir 200 murid.
“Kegilaan apakah ini? Apakah keputusan matematik pelajar-pelajar lain? Jika keputusan anak saya sebagai tanda aras memang yang lain tidak dapat digambarkan,” luah seorang bapa di hantaran Facebooknya.
Terdahulu, pernah tular hantaran seorang guru Mohd Fadli Mohamed Salleh mengenai isu silibus mata pelajaran yang terlalu tinggi untuk murid Tahap Satu.
Apa tidaknya, tanpa ada simbol operasi tambah atau tolak, soalan itu didakwa bercampur aras sekali gus.
Cikgu Fadli dahulu memberitahu beliau amat sukar untuk memahamkan murid dan sepatutnya soalan dibina secara ansur maju.
Perkongsian beliau kemudiannya dihujani komentar yang mempersoal kewajaran soalan tersebut untuk murid seawal usia tujuh tahun.
“Saya yang ada degree Matematik pun tak tau apa benda kombinasi yang dimaksudkan tu, dengan tiada simbol tambah, tolak sama dengan bagai.
“Murid-murid baru seronok belajar Matematik tidak patut ditakutkan dengan silibus yang terlalu sukar.
“Fobia budak-budak yang baru nak seronok belajar Matematik. Ada yang tak kena dengan orang yang buat silibus untuk Darjah 1 ni,” ujarnya.
Diharapkan kepada semua yang menghadapi kegusaran yang sama akan terus tabah dan cekal dalam setiap perubahan zaman dan pembaharuan kerajaan. – HARAKAHDAILY 2/8/2024