KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), CheGuBard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan akidah anak bangsa dalam kalangan umat Islam di negara ini terus terancam.
Perlembagaan Negara Artikel 11 katanya, menyebut dengan jelas bahawa Islam ialah Agama Persekutuan namun agama lain bebas diamalkan di Malaysia.
Bagaimanapun ujarnya, Perlembagaan Negara Artikel 11 (4) menyebut dengan jelas sebarang usaha mempromosi agama lain dalam kalangan umat Islam ialah satu kesalahan jenayah.
“Namun nampaknya di bawah cengkaman rejim campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), Artikel 11 dan kesucian Islam diancam.
“Sebelum ini program Jom Ke Gereja di bawah Kementerian Belia dan Sukan Hannah Yeoh saya dedahkan.
“Saya telah buat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bukan sahaja tidak ada tindakan, malah tidak disiasat langsung.
“Selepas didedahkan ia ditangguhkan sahaja. Rejim pusat yang dikawal DAP telah guna media arus pendana fitnah saya yang mendedahkan isu ini.
“Terbaharu ialah kejadian di Melaka apabila tular video aktiviti dakwah agama Kristian di depan Surau Warisan, berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir sehingga kini hanya ada kenyataan Exco Kerajaan Negeri beri amaran namun tidak ada tindakan.
“Satu lagi yang terbaharu, tular video di mana Jabatan Agama Islam Perak dikatakan menganjurkan program bawa orang Islam bagi perkenal (promosi) agama Hindu sehingga ada anak muda Islam mengatakan agama Hindu sama dengan agama Islam.
“Ia merupakan tindakan plural melampau. Ya, faham rejim campuran yang ditadbir Perak dikawal DAP, namun ini sangat melampau!
“Akidah anak bangsa dalam risiko besar,” tegasnya dalam media sosial miliknya.
Sehubungan PETA ujar Chegubard, mendesak tindakan tegas
“Umat Islam khususnya orang Melayu kena sedar dan bangkit melawan kerana selama ini negara aman dan stabil kerana semua akur akan kontrak sosial, namun semua ini kini dicabar apabila rejim campuran dikawal oleh chauvinist, kiasu, ekstimis liberal dan ekstimis plural.
“Bila kita pertahan hak Islam dan bumiputera akan dipanggil perkauman sempit tapi bila mereka menjarah, mereka murnikan atas nama hak asasi dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024