KUALA TERENGGANU: Isu royalti minyak yang tertunggak terus menjadi kebimbangan dan keresahan utama dalam kalangan rakyat Terengganu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata demikian selepas bersarapan bersama warga tempatan sekali gus membincangkan isu royalti minyak yang masih belum selesai.
“Banyak suara hati rakyat yang saya dengar, semua merasai beban dan kerisauan yang sama mengenai hak kita yang masih tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, lebih daripada RM1 bilion royalti minyak belum disalurkan kepada Terengganu oleh kerajaan Persekutuan, termasuk baki kira-kira RM700 juta untuk tahun 2023 dan tunggakan bagi tahun ini.
“Setiap sen daripada royalti ini amat penting untuk pelbagai inisiatif kebajikan yang terus menyokong kehidupan rakyat kita seperti program I-fitri, I-siswa, pencen rakyat dan kad sejahtera,” katanya.
Menurut Amzad, isu Akta 750, atau Akta Laut Wilayah 2012, kini digunakan untuk menghalang hak Terengganu dalam tuntutan royalti minyak di kawasan perairan negeri.
“Menurut kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, undang-undang ini menjadi alat kerajaan pusat untuk menghalang negeri ini daripada menikmati haknya.
“Akta ini menetapkan sempadan laut negeri hanya sejauh tiga batu nautika, menyebabkan sebahagian besar kawasan minyak dan gas di perairan Terengganu tidak diiktiraf sebagai hak negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi akan terus menuntut hak ini bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan rakyat Terengganu.
“Saya telah menyuarakan keperluan ini kepada pihak kerajaan Persekutuan, namun sehingga kini, kami masih menunggu jawapan yang konkrit.
“Warga Terengganu, marilah kita bersama-sama berjuang dan bersolidariti dalam memastikan hak kita tidak terus dinafikan.
“Saya akan terus memperjuangkan isu ini demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024