KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan terancang ke atas pemimpin utama Harakat al-Muqawwamatul Islamiyyah (Hamas), Ismail Haniyeh yang berlaku pada subuh semalam (31 Julai) oleh ejen Israel di Tehran, Iran.
Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Dato’ Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz berkata, pembunuhan kejam itu yang dilakukan oleh Zionis Israel merupakan taktik kotor bagi melemahkan pergerakan Hamas.
Ia juga menurutnya bagi menutup kekalahan Israel dalam Operasi Tufan Al-Aqsa yang masih berlarutan hingga kini.
“Di sebalik pembunuhan ini, Persatuan Ulama Malaysia juga turut mengecam serangan dan pencerobohan Zionis Israel yang terus menyasarkan orang-orang awam Palestin khususnya di Gaza. Serangan ini telah menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat.
“Rafah yang dilihat sebagai benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari Utara Gaza sejak 7 Oktober 2023 yang lalu juga turut menjadi sasaran serangan semberono rejim tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Kekejaman Israel ujarnya, semakin melampau tanpa mengira kutukan dunia dan ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Wan Mohamad berkata siri pembunuhan orang awam Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka, pastinya bukan kemenangan untuk rejim dan bukan jaminan negara haram Israel akan aman.
“Sebaliknya mereka mesti bersedia hadapi tentangan berterusan sehingga Palestin dan al-Masjid al-Aqsa dibebaskan sepenuhnya.
“Pembunuhan Ismail Haniyeh ini dan serangan berterusan tersebut yang belum terhenti, secara tidak langsung membuktikan kedegilan Israel.
“Oleh itu, PUM menyeru agar seluruh masyarakat antarabangsa untuk terus mengecam pencerobohan Israel.
“(PUM juga) mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan Kenegaraan Palestin, dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad.
“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.’ (Surah Al Imran ayat 169),” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!