Khidmat Malaysia T’ganu bersiap hadapi musibah

Hanafiah Mat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Khidmat Malaysia Terengganu berharap, para peserta HEBAT 5.0 akan menjadi nilai tambah bagi menghadapi musibah tengkujuh.

- Advertisement -

Pengerusinya, Hanafiah Mat berkata HEBAT 5.0 adalah Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia edisi kelima merupakan acara tahunan Khidmat Malaysia.

Katanya, HEBAT 5.0 kali ini memilih Pulau Jahe, Chenor, Pahang sebagai lokasi program yang akan bermula 2 hingga 4 Ogos ini.

Tambahnya, Terengganu akan menghantar seramai 91 orang menyertai HEBAT 5.0 terdiri daripada gabungan pelbagai jabatan dan NGO di bawahnya.

Jumlah tersebut, jelasnya terdiri daripada 81 peserta lelaki dan 10 peserta wanita akan dipimpin oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu, Sauji Abdul Rasid.

Katanya, peserta HEBAT 5.0 akan didedahkan dengan simulasi bencana bagi mempersiapkan anggota Khidmat Malaysia menghadapi situasi sebenar.

“Menariknya, situasi bencana kali ini adalah menghadapi sebuah kampung yang ditenggelami banjir besar dan menjadikan ia sebuah pulau,” ujarnya yang juga Exco kerajaan negeri dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, antara objektif HEBAT 5.0 ini adalah menyeragamkan SOP dalam pengurusan bencana dan menguji tahap kesiapsiagaan pasukan Khidmat Malaysia negeri-negeri.

Beliau berkata, antara jabatan dan NGO yang mewakili Terengganu kali ini adalah Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat, Yayasan Amal Malaysia Terengganu, Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu, Terengganu Adventure Group, GTN Care dan Pasukan Radio Amatur Terengganu.

“Justeru, saya mewakili kerajaan negeri dan Khidmat Malaysia Negeri Terengganu berharap, para peserta HEBAT 5.0 akan menjadi nilai tambah bagi menghadapi musibah tengkujuh yang saban tahun melanda negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Cukai. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -