Kematian Ismail Haniyeh: Pejuang kutuk serangan terkutuk Israel

Rafique Rashid (kiri) dan Allahyarham Ismail Haniyeh.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran semalam dan perbuatan terkutuk serta hina ini mesti dilawan sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid berkata, rejim Zionis Israel yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan. 

- Advertisement -

“Sehingga kini Israel masih terus-menerus tanpa belas kasihan membunuh dan melakukan jenayah perang serta genosida terhadap rakyat Palestin yang hanya mahu kebebasan dan kemerdekaan tanah air mereka.

“Pejuang menggesa agar pemimpin-pemimpin dunia memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel serta-merta. Israel mesti dilabel sebagai ‘pariah state’.

“Masa untuk persidangan, perbincangan atau rundingan tidak lagi relevan. ‘Two-state solution’ bukan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Pejuang merakamkan takziah serta ucapan supaya Allah mengampunkan dosa dan kesalahan, mengasihani keluarga, sahabat handai, kenalan, dan masyarakat Palestin atas syahidnya Ismail Haniyeh.

Dunia ujarnya telah hilang seorang insan yang hebat, pemimpin pembebasan Palestin yang ulung serta seorang manusia yang amat merendah diri dan disenangi oleh sesiapa sahaja yang berjumpa beliau.

“Moga peristiwa pembunuhan Ismail Haniyeh menyemarakkan lagi semangat perjuangan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa dari tangan rakus Zionis Israel.

“Justeru, Pejuang memanggil kesemua ahli-ahlinya serta rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menyahut seruan solidariti dengan mana-mana pihak yang menganjurkan mana-mana perhimpunan atau acara protes besar-besaran terhadap Israel dan sekutunya Amerika akibat tindakan terkutuk ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!