KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hari ini bermulanya secara rasmi operasi jualan di Pasar Kedai Payang 1, di sini dengan segmen kedai barangan kemas serta kraftangan.
Menurutnya, setakat tinjauan secara tidak rasmi tadi, beliau mendapati tidak lebih daripada 10 buah kedai beroperasi.
Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif turut serta. (Foto atas)
“Selebihnya masih lagi dalam proses masuk barang dan pengubahsuaian,” ujarnya menerusi catatan di Facebooknya, petang ini.
Katanya, untuk lot kedai lain sedang dalam proses pemilihan setelah melalui temuduga dan dijangka segmen kedai lain seperti pakaian akan mula beroperasi pada 1 September nanti.
Tambahnya, kesempatan dalam lawatan itu juga beliau berjumpa secara terus bersama para peniaga.
“Saya mengingatkan mereka untuk terus menjaga imej dan kebersihan Pasar Kedai Payang 1 ini,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.
Memetik laporan portal TRDI.my, beliau berkata jumlah pemohon untuk menyewa kedai di Pasar Payang menunjukkan sambutan yang sangat baik, dengan hampir 1,000 permohonan diterima.
Katanya, berkaitan kadar sewa yang timbul dalam kalangan pemohon dianggap tidak besar, kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah berpatutan berdasarkan lokasi dan jumlah pengunjung yang diunjurkan.
Tambahnya, proses pengubahsuaian untuk Pasar Payang 2 akan dimulakan selepas pemindahan peniaga dari Pasar Payang 1 selesai.
Jelasnya lagi, kerja-kerja renovasi akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan, manakala peniaga akan menyiapkan pengubahsuaian mengikut keperluan mereka sendiri. – HARAKAHDAILY 1/8/2024