ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Syeikh Ismail Haniyeh di kediamannya di Tehran, Iran, semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sungguhpun kejadian itu mengundang kesedihan, namun ia sesekali tidak akan melumpuhkan semangat juang umat Islam.
“Mungkin rejim Israel menyangka mereka telah berjaya membunuh ‘otak utama’ pergerakan HMAS dan akan melumpuhkan operasi kumpulan pejuang itu di Gaza.
“Tetapi mereka lupa, seorang Ismail Haniyeh gugur, akan lahir beratus Ismail Haniyeh. Kekejaman mereka hanya akan mengundang tindak balas yang lebih dahsyat,” kata beliau pada kenyataannya, semalam.
Terdahulu, Ketua Biro Politik HAMAS itu bersama salah seorang pengawal peribadinya yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran, semalam.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melalui Jabatan Perhubungan Awamnya mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan dan siasatan mendalam sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian.
Mengulas lanjut kata Sanusi, peristiwa ini merupakan cabaran getir bagi Presiden Iran yang baru dilantik, Masoud Pezeshkian.
“Ini kerana Kerajaan Republik Islam Iran diketahui mendukung kuat perjuangan HAMAS serta amat menjaga keselamatan pemimpin Palestin itu,” tambah beliau.
Namun kata ADUN Jeneri itu lagi, itulah hakikat sebenar janji Allah terhadap perjuangan ikhlas di Palestin yang akan pastinya menunggu giliran syahid masing-masing.
“Israel tidak membunuh Syeikh Ismail, tetapi mereka telah menghantarnya ke syurga. Berbahagialah dia di sana,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2024