KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris mengutuk keras pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, semalam.
Beliau berkata, pembunuhan Ismail Haniyeh yang dilakukan ketika puluhan pemimpin negara berkumpul di ibu kota Iran itu termasuk Malaysia ke majlis angkat sumpah Presiden Iran yang baru dipilih amat dikesali oleh seluruh pemimpin dunia.
“Pembunuhan melalui serangan udara yang mengorbankan allahyarham Ismail Haniyeh bersama seorang pengawal peribadi beliau amat memalukan dan kejam.
“la adalah pembunuhan potitik yang sama sekali tidak boleh diterima dan ini akan membawa kepada peningkatan ketegangan seterusnya meluaskan perang Gaza ke wilayah serantaunya.
“Walaupun sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi dunia mengsaki dilakukan oleh rejim tentera zionis Israel yang berikrar untuk membunuh Ismail Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain kesan konflik berpanjangan di bumi Palestin,” katanya.
Beliu berkata demikian pada perbahasan usul mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, pembunuhan Ismail Haniyeh adalah satu pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan.
“Tindakan serangan sedemikian pasti menjejaskan kestabilan dan keselamatan rantau yang sedang bergolak sekali gus wajar dikutuk.
“Jelas sekali peristiwa ini tidak akan menamatkan konflik di Palestin, sebaliknya hanya mengakibatkan kitaran keganasan dan penderitaan berpanjangan.
“Usaha-usaha gencatan senjata ke arah pendamaian akan menemui kegagalan bila mana berlaku tindakan balas dari perjuang-perjuang pembebasan bukan sahaja di bumi Palestine malah seluruh rantau,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan rakyat negara ini mempunyai hubungan akrab sejak tercetusnya krisis di bumi Gaza.
“Kekejaman berlaku di Palestin, dirasai oleh seluruh rakyat negara ini atas sifat agama dan kemanusiaan.
“Pemimpin tertinggi negara Malaysia, setiasa tegas dan keras dalam mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin dalam pentas antarabangsa,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu. – HARAKAHDAILY 1/8/2024