KUALA TERENGGANU: “Jadi apa halangannya?” tanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berhubung bayaran royalti petroleum.
Menurutnya, bayaran itu hanya menjadi luar biasa selepas Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) berkuasa di Putrajaya.
Katanya, pada zaman Tun Dr Mahathir Moahamed sebagai Perdana Menteri pada 2018, Terengganu mendapat wang petroleum atas nama ‘Wang Tunai Petroleum’.
Tambahnya, ia dibayar dua kali setahun pada Mac dan September tetapi dipotong 25 peratus untuk membayar hutang negeri kepada Pusat.
Jelasnya, pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, Terengganu mendapat wang petroleum dengan nama ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’.
“Bayaran penuh mengikut jadual pada bulan Mac dan September. Tiada pemotongan sebagaimana yang dipotong zaman LGE MOF,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya.
Katanya lagi, semasa Dati’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, Terengganu mendapat duit minyak juga atas nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan di mana bayaran penuh pada Mac dan September.
“Zaman PMX DSAI, Terengganu hanya dapat bayaran wang petroleum atas nama ‘Wang Ehsan’ secara ansuran bulanan kira-kira RM50 juta sebulan yang hanya cukup untuk bayaran gaji dan emolumen,” jelasnya yang juga ADUN Jabi..
Dr Azman menjelaskan ia bukan bayaran penuh dan berjadual sebanyak dua kali setahun sebagaimana sebelum ini yang berbaki lebih RM700 juta lagi yang belum dibayar bagi tahun 2023.
“Kalau ditanya sebab apa zaman 33 bulan PN (Perikatan Nasional) di Putrajaya, Terengganu tak tekan Kerajaan Pusat untuk dapat royalti.
“Jawabnya, nak tekan buat apa sebab bayaran sudah dibayar penuh.
“Kita tak kisah dengan nama sama ada nama Royalti, Wang Ehsan, Wang Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan. Yang penting bayaran dari hasil minyak hak rakyat Terengganu dibayar,” katanya.
Beliau juga menyentuh adakah Akta Laut Wilayah 2012 yang menghalang pembayaran itu.
Menurutnya, selepas Akta Laut Wilayah digubal tahun 2012, Terengganu tetap mendapat bayaran sebagaimana biasa. – HARAKAHDAILY 1/8/2024