SERUAN agar orang Islam dan bukan Islam takut kepada Allah kerana di penghujung masa nanti, manusia akan bertemu dengan hari kiamat. Gegaran hari kiamat adalah suatu benda besar yang tidak pernah manusia jumpa.
Kita pernah berjumpa dengan banjir besar pada tahun 2014, gempa bumi di Pakistan dan Bangladesh, ribut taufan di Amerika dan tsunami di Jepun. Tetapi, hari kiamat berlaku dengan lebih dahsyat daripada itu.
Dahsyatnya pada waktu itu sehingga ibu yang sedang menyusu akan melepaskan anaknya, yang mengandung boleh keguguran dan manusia kelihatan seolah-olah mabuk kerana tidak tahu hendak buat apa, nak pergi ke mana dan serba tidak kena.
Seperti perbincangan sebelum ini, laut terbakar, sungai menyala, gunung dan bukit runtuh serta langit pecah. Semuanya mengerikan dan menakutkan manusia.
Orang dahulu tidak percaya bahawa hari kiamat akan berlaku. Mereka juga tidak percaya dengan kehidupan setelah mati. Mereka merupakan sebahagian daripada golongan Ad-Dahriyyun. Kita orang Islam wajib percaya kepada hari akhirat iaitu kehidupan yang abadi.
Manusia akan lahir semula dalam keadaan asalnya cuma tempatnya sudah berbeza. Sekiranya kafir, dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sekiranya beriman dan baik, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.
Dahulu memang ada orang yang tidak percaya kepada hari kiamat. Cuma sekarang, sebahagian saintis percaya bahawa dunia ini akan hancur. Tetapi, mereka masih tidak percaya kepada hari akhirat. Dalam tulisan mereka menyebut, dunia ini ada umurnya dan akan sampai suatu masa nanti ia akan hancur.
Mereka percaya bahawa sistem cakerawala akan kucar-kacir. Sekarang, setiap planet sedang berpusing pada orbitnya, contohnya bulan, bintang dan matahari. Tetapi, akan sampai suatu masa nanti, pusingannya akan lari yang menyebabkan bertembung dan akhirnya meletup semua sekali.
Alam sudah hilang peraturan. Sekarang pun musim sudah mula tidak menentu. Musim yang tidak sepatutnya sejuk tetapi menjadi sejuk. Musim yang tidak sepatutnya hujan tetapi hujan. Dunia sudah mula berubah.
Contohnya di Makkah, dahulu kering-kontang, tetapi sekarang rumput dan pokok kayu sudah mula tumbuh serta menjadi kehijauan. Nabi telah menyebut dalam hadis, tidak akan berlaku kiamat sehingga bumi Makkah akan menjadi hijau semula. (Rujuk Riwayat Muslim: 157).
Oleh itu, kita harus berasa bimbang dan beringat. Pergerakan kepada berlakunya hari kiamat telah berlaku. Dalam hadis banyak disebut, antara tanda akhir zaman ialah orang perempuan menjadi lelaki, rambut perempuan seakan-akan bonggol unta, zina berkembang, minum arak berleluasa dan mendedahkan aurat. Masalah terbaru adalah isu zina dalam kalangan anak Melayu menjadi semakin serius di universiti.
Dalam hampir semua kitab hadis, ada bab yang bertajuk Asyraathus Sa’ah (أشراط الساعة) maksudnya tanda-tanda hari kiamat. Ada tanda besar dan tanda kecil. Kebanyakan yang berlaku hari ini ialah tanda-tanda kecil. Antaranya ialah satu persatu rumah batu yang besar dan tinggi dibina di dalam kampung. Nabi menyebut, manusia berebut-rebut membina rumah besar dan tinggi. – HARAKAHDAILY 1/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.