KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menawarkan calon terbaik yang merupakan penduduk tempatan dekat dengan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum ini satu senarai panjang telah diteliti dan ditapis oleh PN dalam kalangan penduduk tempatan untuk diangkat sebagai calon.
Menurutnya, calon PN Mohd Razwadi Ismail, 41, telah diteliti merentasi keahlian parti kerana yang penting kali ini ‘sosok’ lebih baik kerana pengundi di Nenggiri tidak mahu tertipu lagi.
Katanya, PN sekali lagi memperaga politik matang serta pragmatis yang penuh strategi demi berlaku adil kepada pengundi tanpa mengira parti.
“Lebih membanggakan, Ustaz Wadi tidak pernah melobi. Beliau juga tidak pernah berniaga atau terbabit dengan projek sebaliknya berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat kepada negara sebagai perajurit.
“Beliau juga pernah melalui latihan dan disiplin ketenteraan serta bergiat dalam bidang dakwah dan keagamaan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Tambahnya, Ustaz Wadi sentiasa berada bersama masyarakat Nenggiri dan sudah dikenali ramai di mana ia menjadi kriteria penting dalam perjuangan mewakili suara rakyat di Nenggiri.
Kata beliau watak sebagai seorang pejuang yang ada padanya wajar diambil manfaat kerana Ustaz Wadi orang yang istiqamah memikul amanah serta tidak mengejar materialistik semata mata.
Sambungnya, tawaran PN untuk rakyat Nenggiri begitu bernilai harganya untuk diambil peluang oleh mereka pada 17 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 31/7/2024