PEMBUKAAN visa sekarang sudah bebas dan pada bila-bila masa. Dahulu, selepas balik daripada haji dua hingga tiga bulan, barulah visa umrah boleh dibuka.
Sekarang, orang yang mengerjakan haji masih belum balik, tetapi orang lain sudah boleh mengerjakan umrah dan melancong. Sebab perniagaan dan ia dikomersialkan. Jadi, nilai ibadah semakin hilang.
Ibarat solat, sekiranya solat hanya menjadi adat, ia tiada kesan apa-apa kepada kita. Solat masih sama dan tidak berubah sedikit pun. Bukannya setelah solat, perangai kita semakin bagus. Tidak jadi begitu. Makin kita solat, makin pelik pula jadinya. Sebab tiada tujuan asal.
Ambillah peringatan ini kerana banyak cabaran dan ujian yang akan hadir pada akhir zaman ini dan kita tidak menyedarinya. Syeikh Abdul Aziz Bin Baz mengharamkan telefon untuk dibawa ke Masjidil Haram suatu ketika dahulu.
Sekarang, sudah bebas malah ada yang menghisap rokok di tepi masjid. Orang perempuan pula tidak menutup aurat dengan baik.
Jadi, dibimbangi bahawa lama-kelamaan agama tiada erti apa-apa kerana nilai rohani menjadi kosong. Sedangkan yang lebih pentingnya ialah nilai rohani.
Perbuatan secara zahir itu adalah sebagai simbol. Sekiranya hilang nilai dalaman, maka simbol tersebut tidak bererti apa-apa.
Dr Ali Shariati merupakan pensyarah yang hebat di Iran. Antara sebab orang-orang muda menyokong Revolusi di Iran adalah kerana ceramah dan tulisannya.
Kebanyakan bukunya diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Beliau mengkritik mengenai Human Nature dan Historical Materialism yang dibawa Karl Marx.
Beliau berhujah satu persatu secara ilmu dan falsafah. Mengapa Historical Materialism yang dipegang oleh Karl Marx dan komunis tidak betul dan tidak boleh dipertahankan.
Ada satu bukunya yang bertajuk “Haji” yang ditulis dalam Bahasa Parsi diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Beliau banyak menghuraikan mengenai kepentingan, falsafah dan manfaat haji yang boleh diambil oleh orang Islam. Istimewanya buku tersebut kerana dihuraikan secara falsafah, bukan mengenai hukum halal dan haram sahaja. – HARAKAHDAILY 31/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.