KUALA LUMPUR: PAS melalui kenyataan Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan takziah di atas kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang disahkan telah terbunuh di Tehran, Iran.
“Jika benar, ia berita yang menyedihkan kepada umat Islam dan pencinta perjuangan Palestin. Semoga Allah kurniakan ganjaran syahid buatnya,” katanya menerusi laman Facebook beliau, sebentar tadi.
Terdahulu, Hamas dilaporkan Tehran Times sebagai berkata, Haniyeh telah meninggal dunia akibat serangan ‘khianat’ zionis Israel ke atas kediamannya di Tehran bersama seorang pengawal peribadinya.
Beliau dilaporkan berada di Tehran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semalam.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan oleh tentera Zionis Israel, yang sebelum ini pernah berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan pejuang Islam Palestin itu pada 7 Oktober 2023.
Agensi berita negara Iran turut melaporkan kematiannya pada awal Rabu, dan penganalisis sudah mula menyalahkan Israel atas serangan itu, namun kenyataan itu tidak memberikan butiran tentang bagaimana Haniyeh dibunuh. – HARAKAHDAILY 31/7/2024