Ustaz Hassan Saad menjengah ke teratak rakyat

- Advertisement -

AHLI Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad ternyata tidak pernah ‘kering tangan’ bertungkus-lumus bersama warga penduduk dalam kawasannya setiap kali berkelapangan daripada acara rasmi.

- Advertisement -

Kedudukan dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu itu menjadikan beliau semakin dekat dengan masyarakat, malah penduduk kampung juga selesa dengannya.

Rutinnya, beliau tidak betah berada di rumah, sering sahaja bersama Jawatankuasa PAS Kawasan Baling, Dewan Muslimat, Pemuda dan lain-lain turun padang berjumpa masyarakat kampung.

Tidak kiralah sama ada melawat orang sakit, warga emas, ibu tunggal, golongan kurang berkemampuan, bayi, kanak-kanak dan lain-lain mengikut keperluan, malah tidak lupa menghulurkan sumbangan semampunya.

“Sedikit sumbangan sebagai buah tanda sebagai tanda ingatan. Semoga ukhuwah terjalin dengan erat,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Baling dan bekas pendidik.

Bantuan, sumbangan serta perhatian dilebarkan ke tiga-tiga DUN di kawasan Baling, sama ada DUN Kupang, Kuala Ketil mahupun Bayu, yang juga diwakili ADUN Perikatan Nasional (PN) dalam pentadbiran Kedah.

Kadang-kadang beliau turun padang bersama ADUN di DUN berkenaan, kadang kala beliau sahaja bersama Jawatankuasa Pusat Khidmatnya dan pemimpin parti setempat.

Sungguhpun tiada peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang oleh Kerajaan Madani yang mentadbir negara, Ustaz Hassan akan menggunakan wang sakunya sendiri membantu rakyat.

“Syukurlah ada Beras Sejahtera dan bakul makanan sumbangan kerajaan negeri, bolehlah juga kita bawa untuk sumbang kepada rakyat. Sekurang-kurang dapat membantu.

“Dah la kami Ahli Parlimen Pembangkang tidak dapat peruntukan. Guna duit poket sendiri bantu rakyat,” ujarnya.

Perhatian beliau tidak tertumpu kepada penduduk kampung semata-mata, tetapi beliau sering kali juga menyantuni golongan agamawan, tuan-tuan guru, imam dan lain-lain.

Malah pemergian ke rahmahtullah, Mudir Madrasah Ruhdiah, Pondok Charok Salang, Tuan Guru Rifaee Yaakob beberapa tahun lalu sangat memberi kesan kepadanya. Beliau kerap kali berkunjung serta menziarahi keluarga Almarhum dan menyampaikan sumbangan.

“Tiada lagi rindu akan kemanisan talaqqi, tiada lagi selakan helaian demi helaian kitab-kitab ulama dan jari jemarinya yang tulus. Tiada lagi tangan seorang murabbi menadah tangan dan berdoa,” demikian katanya melepaskan rindu kepada murabbinya yang telah empat tahun dijemput Ilahi.

Tidak hanya dengan itu, dalam kesibukan masanya beliau sempat memberi perhatian seorang pesakit buah pinggang yang telah 14 tahun menanggungnya, Aris Mohd Isa (54 tahun) di Kampung Parit Panjang.

Walaupun kehadiran Ustaz Hassan ke rumahnya tidak mengubah kondisi penyakitnya, namun perhatian darinya secara tidak langsung dapat memberi semangat dan kekuatan kepada pesakit.

Tindakan seumpama itu memperlihatkan kesungguhan beliau bersama penduduk Baling tidak mengira di waktu suka atau duka. Itu tidak termasuk lawatan ‘on call’ apabila berlaku kecemasan, musibah seperti ribut, kebakaran dan lain-lain, beliau pasti hadir.

Tidak hanya melawat, ziarahi, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan, Ustaz Hassan juga melapangkan waktunya bersama para petugas dan jawatankuasa semua peringkat di kawasannya.

Hati dan perasaan para petugas juga katanya, perlu dijaga walaupun pengorbanan yang mereka sumbangkan tidak menuntut bayaran mahupun balasan.

Baru-baru ini sepetang beliau bersama Halwa DUN Bayu, makan nasi di dusun Kak Ton, Kampung Jenalik Siput.

“Saya ‘curi’ masa untuk bersama mereka. ADUN Kupang, Dato’ Najmi pun ada bersama. Seronok juga bersantai dalam suasana dusun. Suara ungka, unggas, irama air charok menghibur hati,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!