KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dinasihatkan berhati-hati dengan kenyataan yang terlebih yakin dengan kemenangan partinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, bukan sahaja Perikatan Nasional (PN)-PAS mahu mengulangi kekalahan Umno, tetapi ‘Geng Campuran’ pun dikhabarkan nak mengajar Umno.
“Jaga-jaga Datuk. Kita bertempur secara ‘gentleman’ (beradab tertib) nanti di tanah majoriti Melayu ini.
“Kami akan buktikan sesungguhnya umat Melayu Islam kekal bersama gelombang kebangkitan ummah ini.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dan pakatannya terus gagal membela nasib rakyat dan umat Melayu merasakan kehidupan mereka terus tercabar di tanah air sendiri,” katanya beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media tempatan baru-baru ini melaporkan Ahmad Maslan berkata bahawa Umno boleh menang bergaya di Nenggiri.
Sehubungan dengan itu, Roslan berkata, Ahmad Maslan memang terkenal dengan watak penghiburnya dan bab pantun memang hebat sehingga netizen tidak boleh lupa dengan pantun terkenalnya satu ketika dahulu, walau kini pantun itu menggigit diri.
“Apa pun beliau licik dan pandai sesuaikan diri bila suasana berubah. Orang lain kritikal dan vokal terhadap kepimpinan Umno khasnya pasca kekalahan PH-BN di PRK Sungai Bakap.
“Namun, Ahmad Maslan tak pedulikan semua itu sebab mahu tumpu pada PRK DUN Nenggiri pula. Maklumlah PRK ni Umno pula bertanding,” ujarnya.
Tambahnya, Ahmad Maslan membuat kenyataan tersebut tanpa mengambil kira kekalahan teruk di Sungai Bakap, atau bahawa Umno pun kecundang baru-baru ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Parlimen Gua Musang dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 DUN Nenggiri.
“Ahmad Maslan kemungkinan dilihat positif dan terlebih yakin berikutan terlupa status dan kedudukan Umno di mata masyarakat hari ini.
“Kena strategi berkesan dan penerangan isu semasa yang cukup, Umno boleh menang katanya.
“Baiklah Perikatan Nasional (PN)-PAS pun tidak wajar ‘over confident’ walau semua indikator memihak kepada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024