Libat syarikat arak: Bukan isu kaum tapi moral

- Advertisement -

JASIN: Isu berkaitan penglibatan syarikat arak atau judi dalam program pendanaan tabung persekolahan bukan semata-mata sebab ianya berkaitan dengan bangsa atau agama.

- Advertisement -

Tetapi kata Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin, ia adalah sensitiviti berkaitan dengan isu moral secara universal.

“Ada yang kata itu sekolah Cina, mereka orang bukan-Islam, apa salahnya mereka terima sumbangan dari syarikat arak, syarikat judi. Ini bukan isu agama atau isu bangsa, tetapi isu moral.

“Institusi pendidikan seperti sekolah tidak boleh dicemari oleh sumbangan dari industri dosa seperti ini,” katanya kepada Harakahdaily sewaktu dihubungi hari ini sebagai mengulas isu tersebut.

Tambah beliau, di sekolah SJKC sendiri ada ramai guru dan pelajar yang beragama Islam dan bakal terkesan sekiranya sesebuah sekolah itu menerima dana daripada syarikat arak atau judi.

“Bagi saya perkara itu sebenarnya bila sebut saja pendikan dia tak kira Cina, India atau Melayu, sebenarnya tidak boleh. Ia soal moral. Sebab kita belajar tentang moral, kita belajar tentang akidah, kita belajar tentang agama.

“Tetapi kalau benda yang macam ni kita tak boleh jaga, apa benda lain kita nak jagakan? Sebab ini pendidikan. Saya ulang, ini adalah pendidikan. Tak kira Islam, tak kira apa, sebab ini adalah pendidikan,” katanya.

Mengulas pertikaian terhadap perkara tersebut yang berlaku apabila beberapa orang pemimpin DAP dalam kerajaan tidak berpuashati dengan larangan itu, beliau berkata ia menggambarkan kecelaruan dalam pentadbiran Kerajaan PH-BN.

“Bagi pandangan saya peribadi saya nampak polisi yang dibuat oleh kerajaan ‘UmDAP’ ni ataupun kerajaan PH-BN ni bagi saya kecelaru. Sebenarnya siapa yang mengetuai? Adakah DAP mengetuai ataupun kerajaan mengetuai?

“Bagi saya benda ini tidak wajar berlaku. Sebab apa? Pendidikan dah ada polisi. Polisi kena ikut. Itu peraturan dan juga prinsip yang sepatutnya ada dalam sistem pendidikan,” katanya.

Kontroversi bermula apabila foto Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu yang hadir dalam satu majlis penyampaian sumbangan kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang ditaja oleh sebuah jenama arak tular baru-baru ini.

Ia kemudiannya diikuti dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu tidak dibenarkan berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan KPM pada tahun 2018.

Isu itu mendapat liputan meluas apabila para pimpinan kerajaan terutama daripada DAP dilihat membantah larangan tersebut. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -