Kukuh jati diri Muslim hadapi tribulasi

Ustazah Ana Mastura Ismail
- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Umat Islam hendaklah mengukuhkan jati diri Muslim agar kuat untuk menghadapi pelbagai tribulasi serta ujian pada akhir zaman.

- Advertisement -

AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa bersedia menghadapi tentangan musuh dari pelbagai arah.

“Dalam surah al-Baqarah ayat 120, Allah menyebut tentang musuh dari kalangan Yahudi dan Nasrani sementara ayat 217 surah yang sama, Allah memberi amaran dengan golongan musuh yang sentiasa memerangi umat Islam.

“Oleh itu kita hendaklah menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk memahami kebencian musuh-musuh Islam agar umat Islam selamat dan beroleh kesejahteraan hidup,” tegas beliau semasa berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Surau Muhammadiah Bukit Chandan, kelmarin.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa hijrah adalah perintah Allah bagi melaksanakan tuntutan mewujudkan negara Islam agar terlaksana hukum-hukum Allah.

“Dalam usaha mewujudkan pemerintahan Islam, kita hendaklah mengelak dari melantik musuh sebagai penolong atau pemimpin negara.

“Musuh-musuh tidak pernah rehat dari menyusun pelbagai strategi merampas tanah air umat Islam di seluruh dunia tanpa terkecuali di negara kita.

 “Maka untuk mencapai kemenangan, umat Islam hendaklah bersatu dan berperang di jalan Allah serta mengenal pasti jalan taghut agar tidak tergelincir ke dalamnya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!