
MOSCOW: Kira-kira dua orang maut dan 100 yang lain cedera selepas lapan kereta api tergelincir dari landasan akibat terlanggar sebuah trak di wilayah Volgograd, Rusia.
Video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan bahagian yang kelihatan seperti trak bertaburan di atas tambak berumput di sebelah landasan kereta api yang berhampiran stesen Kotelnikovo, kira-kira 750 kilometer di selatan Moscow.
“Kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kereta api tergelincir dan setakat ini 100 orang tercedera.
“Seramai 324 orang paramedik terlibat dalam operasi menyelamat kereta api tergelincir yang menyebabkan sembilan gerabak terbabas dari landasan termasuk tujuh daripadanya terbalik,” ujar kenyataan Kementerian Situasi Kecemasan Russia (EMERCOM), lapor The Moscow Times.
Dalam pada itu, agensi berita TASS melaporkan, kira-kira 30 orang dimasukkan ke hospital termasuk 15 kanak-kanak manakala 22 kru ambulans dihantar ke tempat kejadian untuk merawat mangsa yang cedera.
Dalam kejadian itu, kereta api yang membawa kira-kira 800 penumpang itu dalam perjalanan dari Kazan di Tatarstan ke Pusat Percutian Adler di Laut Hitam kira-kira 47 jam perjalanan.
Syarikat pengendali kereta api terbabit, Russian Railways dalam kenyataannya berkata, pemandu trak, Aslambek Usmatov, 43, dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah.
“Pemandu trak itu telah melanggar peraturan lalu lintas dan memandu ke arah persimpangan dalam keadaan sistem isyarat berfungsi dengan baik.
“Pemandu kereta api menggunakan brek kecemasan tetapi rempuhan tidak dapat dielak kerana jaraknya yang dekat. Kereta api itu bergerak dengan kelajuan 65 kilometer sejam,” katanya.
Sementara itu menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Irina Volk berkata, siasatan sedang dijalankan dan semuanya akan dirungkaikan kelak. -Agensi/– HARAKAHDAILY 29/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!