
PARIS: Penganjur Olimpik Paris 2024 memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung dengan sketsa yang menggambarkan lukisan mural ‘The Last Supper’ (‘Perjamuan Terakhir’) karya pelukis legenda, Leonardo da Vinci yang dipersembahkankan dalam acara pembukaan kejohanan itu pada Jumaat (26 Julai), sehingga menimbulkan kemarahan golongan konservatif agama di seluruh dunia.
Beberapa kumpulan Katolik dan paderi Perancis telah mengutuk apa yang mereka lihat sebagai adegan cemuhan dan ejekan agama Kristian dalam perarakan Jumaat tersebut yang diarahkan oleh pengarah teater, Thomas Jolly.
Persembahan di jambatan Passerelle Debilly, Sungai Seine yang menggambarkan ‘Perjamuan Terakhir’ itu menampilkan penyanyi dan pelakon Perancis, Philippe Katerine yang kelihatan hampir tanpa seurat benang dan dicat dengan warna biru untuk menjelamakan dirinya sebagai Dionysus, iaitu Dewa Wain dan Keseronokan Yunani.
Adegan itu turut menampilkan seorang deejay dan penerbit, Barbara Butch yang juga merupakan ikon LGBTQ+ Perancis, menggelarkan dirinya sebagai ‘aktivis cinta,’, menyaksikan dia memakai hiasan kepala berwarna perak yang kelihatan seperti lingkaran cahaya ketika dia berjalan di atas jambatan merentasi Sungai Seine.
Acara pembukaan itu turut menampilkan seorang wanita memegang kepala yang terputus dan berlumuran darah bagi menggambarkan bekas Ratu Perancis, Marie Antoinette yang dihukum penggal kepala selepas Revolusi Perancis 1789, yang dilakonkan di tingkap Conciergerie, sebuah bangunan di mana dia telah dipenjarakan sebelum dihukum mati.
Sementara itu, ahli politik sayap kanan terkemuka Perancis yang juga ahli parlimen Kesatuan Eropah, Marion Marechal turut mengecam adegan berkenaan menerusi laman media sosial X miliknya.
“Kepada semua penganut Kristian di dunia yang menyaksikan acara pembukaan Olimpik Paris 2024 dan berasa terhina dengan parodi ‘Perjamuan Terakhir’ ini, ketahuilah bahawa ini bukan kenyataan majoriti tentang Perancis, tetapi golongan minoriti sayap kiri yang bersedia untuk sebarang provokasi,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 29/7/2024