SSM kecam penahanan reman Chegubard

Tun Faisal (kiri) dan Chegubard.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Selamatkan Malaysia (SSM) mengecam penahanan reman aktivis masyarakat dan juga Ahli Jawatankuasa Pemandu SSM, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, atas dakwaan mendedahkan bukti salah laku rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

- Advertisement -

Pengerusinya, Datuk Tun Faisal Ismail berkata, tindakan Chegubard mendedahkan maklumat mengenai salah laku ini adalah wajar kerana sudah beberapa kali aduan dan laporan yang dibuatnya telah didiamkan dan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Pendedahan menggunakan saluran media dan media sosial setidak-tidak boleh menghalang isu salah laku ini didiamkan dan disembunyikan di bawah hamparan oleh pihak kerajaan.

“Agak pelik di bawah pemerintahan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan kerajaan yang kononnya merupakan kerajaan Madani, bertindak ke atas pemberi maklumat dan bukannya menyiasat pihak yang didakwa melakukan kesalahan rasuah.

“SSM menuntut pembebasan segera Chegubard, pengguguran kesemua dakwaan terhadap beliau oleh pihak berkuasa dan penyiasatan terhadap dokumen yang didedahkan dan individu yang dinamakan sebagai pelaku salah laku rasuah ini lakukan dengan segera, secara telus dan tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan,  kejadian yang hampir sama berlaku ke atas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendedahkan maklumat mengenai salah laku seorang pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Rakyat.

“Walaupun dilindungi imuniti, Ahli Parlimen Machang tetap dikenakan hukuman gantung selama enam bulan tanpa ruang membela diri sedangkan yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan adalah menyiasat maklumat yang telah didedahkan,” ujarnya.

Tambahnya, PMX mesti mengotakan apa yang dijanjikan mengenai komitmen membanteras rasuah dan kebebasan bersuara rakyat kerana sehingga hari ini, prestasi beliau dalam dua perkara ini adalah sangat mengecewakan. 

“Perdana Menteri gagal mengotakan apa yang pernah dijanjikan sebelum ini. Sehingga kini nampaknya yang menjadi mangsa adalah rakyat yang bersuara bukan elit politik dan kerajaan yang berkuasa.

“SSM menuntut agar Chegubard dibebaskan segera dan dilindungi oleh kerajaan sebagai seorang pemberi maklumat atau ‘whistle blower’,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -