‘Semua harus realistik, janganlah harap hasil kerajaan Terengganu…’

Eikhwan Ali
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Semua pihak harus realistik, janganlah harap hasil kerajaan negeri Terengganu akan berganda hari esok juga.”

- Advertisement -

Itu penegasan oleh Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Terengganu, Eikhwan Ali, mengulas pendedahan terbaharu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai status semasa bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri itu. 

Beliu yang juga Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik & Integriti Terengganu (TSIS) berkata, banyak aktiviti dalam pelbagai aspek yang perlu digerakkan oleh kerajaan negeri memerlukan sokongan dan dukungan daripada rakyat, pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga tidak goyang kaki…sentiasa merancang dan berusaha untuk meningkatkan hasil janaan negeri antaranya, tingkatkan kecekapan kutipan hasil, nilai semula bayaran cukai berkaitan tanah, teroka pembangunan industri nadir bumi dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, kerajaan negeri sepatutnya dibayar RM1.524 bilion. Setakat ini diluluskan hanya RM792.32 juta, iaitu separuh sahaja.

Namun, hanya RM425.17 juta sahaja yang dibayar, atau lebih tepat direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri.

Eikhan seterusnya meneruskan hujah dengan berkata, “Sebab apa MB guna frasa ini? Kerana, kebanyakan bayaran yang dibuat adalah terus kepada kontraktor dan pembekal, atau melalui agensi Persekutuan seperti JKR dan JPP bukannya langsung kepada kerajaan negeri. 

“Inilah yang disifatkan oleh MB sebagai memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku.”

Beliau juga menyifatkan Kerajaan Persekutuan seolah tidak sedar diri melayan kerajaan negeri seolah-olah jabatan atau agensi persekutuan.

“Padahal, negeri-negerilah yang membentuk Persekutuan. Jadual Kesembilan dah gariskan senarai masing-masing Persekutuan, negeri dan bersama. Sepatutnya ia dihormati,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga menyokong kenyataan Ahmad Samsuri yang menempelak pihak yang mempertikaikan kebergantungan negeri kepada hasil minyak dan gas, sekaligus meminta kerajaan negeri segera menjana hasil baharu.

“Minyak dan gas adalah anugerah Allah kepada Terengganu dan undang-undang juga memberikan hak kepada Terengganu. Justeru, terimaan bayaran daripada hasil minyak dan gas ini telah distrukturkan sebagai komponen hasil bagi kerajaan negeri.

“Sama juga kita pun tidak mempertikaikan Kerajaan Persekutuan yang ‘bergantung’ kepada cukai pendapatan syarikat dan individu; kerana undang-undang membenarkan kerajaan mengutip cukai tersebut dan ia menjadi salah satu komponen hasil Kerajaan Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -